TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS MADANI TELUK KUMBAR 

Share:

 

TEKS UCAPAN  

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

 

SEMPENA

MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS MADANI

TELUK KUMBAR

 

 

19 JULAI 2025 (SABTU) | 4.00 PETANG

TAPAK PROJEK PEMBANGUNAN KOMPLEKS MADANI, TELUK KUMBAR, PULAU PINANG

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba,

wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,

wa nusalli ala rasoolihil kareem,

wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT);

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

Ahli-Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri;

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran A/L P. Anthony,

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang;

Ahli – Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang;

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

  1. Terima kasih atas sambutan baik. Inilah satu projek pertama yang saya diminta rasmikan yang bukan projek Persekutuan. Dan saya pilih untuk datang atas beberapa sebab. Pertama, kerana saudara YB Dato’ Azrul Mahathir bin Aziz, YB Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik, YBhg. Datuk Bandar, YAB Ketua Menteri dan seluruhnya serta kempen daripada YB Tuan Nga Kor Ming tentunya menuntut saya datang, tapi yang penting saya hendak tunjukkan bahawa ada keperluan untuk sampai dan santuni rakyat di Balik Pulau dan juga Teluk Kumbar. Dan kerana lama sudah tidak sampai, durian pun dengar-dengar cerita saja dan dah rasa dah. Perlu santuni dan dengar kalau ada apa-apa keperluan lain yang kita perlu berikan perhatian. Itu di antara sebabnya.
  2. Keduanya, yang agak penting, ini projek Bandaraya Pulau Pinang. Dan selalunya teguran yang selalu diberikan ialah seolah-olah Bandaraya ini kurang mempedulikan kawasan-kawasan pinggir kota. Dan sebab itu saya ingin hadir untuk menyatakan penghargaan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri dan Majlis Bandaraya kerana ini di antara kompleks orang ramai dan kompleks kemudahan asas dan perniagaan yang agak besar di mana-mana daerah.
  1. Dan saya ucap tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang kerana prihatin tentang masalah yang di sini. Tapi yang juga menarik ialah konsep ini. Konsep MADANI kerana dia tempat perniagaan, tapi tempat disantuni kerana ada perniagaan golongan-golongan yang lebih kecil. Kita dalam negara yang membangun ini di Kuala Lumpur, kalau dulu dia fikir soal projek-projek besar sahaja. Saya tidak kata tidak penting, tapi kalau orang swasta hendak buat, buatlah. Tapi kalau kerajaan, dia patut tumpu masalah rakyat. Tengok kalau gerai ini, kita buat RM25 juta tapi berapa puluh orang boleh meniaga, berapa ratus orang boleh dapat manfaat. Ada dewan untuk orang ramai.
  1. Sebab itu, di Kuala Lumpur saya sebut kita jangan bangga hanya dengan mercu tanda, bangunan gagah perkasa, hebat. Orang berasa bangga, tetapi restoran-restoran lima bintang banyak, makanan Arab, India, China Jepun, Korea semua ada. Tetapi berapa orang rakyat umum yang menyantuni hadir atau pergi atau mampu? 80 peratus rakyat itu pergi ke gerai, warung, ke restoran-restoran kecil. Tapi kalau tengok restoran kecil, warung, itu daif. Bumbung pun robek, hujan tempiasnya. Kerusi, meja macam tahun 50-an, 60-an. Jadi saya katakan, sampai waktu dalam Kerajaan MADANI kita ubah sikap.
  1. Maka sekarang ini alhamdulillah 70, 80 gerai-gerai begini sudah siap, bersih dan selesa digunakan oleh 80 peratus lebih rakyat. Guna, pergi gerai dan restoran-restoran kecil. Dia bukan pergi ke restoran lima bintang. Inilah pendekatan yang kita rasa perlu diberikan. Tidak menolak keperluan. Bila negara berkembang, maju, pelancong datang dia nak pergi restoran besar kita sediakan oleh swasta. Tapi Kerajaan, baik Negeri, Pusat atau Dewan Bandaraya dan Majlis Perbandaran, dia mesti tahu fokus dia. Dia mesti jaga manfaat, faedah bagi jumlah yang ramai. Itu dia baru konsep pembangunan yang sebenarnya. Kalau kita, apa lagi dalam masyarakat Islam, kita tahu pembangunan itu pembangunan yang pertama, mengukuhkan keyakinan kita. Menjadi kita manusia yang baik. Dan memberi faedah kepada ramai. Wa nafsinw wa maa sawwaahaa, fa-alhamahaa fujoorahaa, wa taqwaha, Qad aflaha man zakkaahaa, wa qad khaaba man dassaahaa. Dasar itu konsep pembangunan yang meletakkan nilai, bukan hanya nafsu serakah kira untung sahaja. Kira faedah bagi kelompok kecil, tidak pada yang ramai.
  1. Sebab itu, orang-orang politik sebab tengok kerajaan-kerajaan, dia boleh bercakap. Tapi nak uji nak tahu atau tidak, tengok masa dia ada kuasa. Sekarang ini orang duk berhimpun. Cerca sana, maki sini dan kata kita ini khianat kepada rakyat, tindas rakyat, pelihara orang kaya dan menekan orang miskin. Itu yang di ucapkan. Mereka ini lupa dia pernah berkuasa dulu. Dan orang bercakap itu, baru-baru ini di Kedah apa dia kata, yang bercakap? Seorang anak dia berbilion ringgit. Itu bukan saya tuduh. Dia isytihar. Azrul, dia isytihar. Kata, satu bilion ringgit. Pak Perdana Menteri anak satu bilion. Ada seorang lagi, Pak Menteri Kewangan, keluarga 4 bilion. Ada seorang lagi menteri, harta kekayaan RM2 bilion ringgit. Bagaimana boleh kita nak maju negara ini? Sebab itu saya tegas. Saya tidak peduli, kita ambil tindakan.
  1. Kemudian, bila ambil tindakan, geng-geng ini pakat. Syarah nak selamatkan Melayu, selamat Melayu bagaimana kalau kita biar hal-hal yang sedemikian? Saya nak kata, kalau nak selamat Melayu, pimpinan Melayu itu mesti bersih. Tidak boleh memperguna kekayaan. Pasal apa kaya Perdana Menteri? Menteri Kewangan? Masa mana lagi tak nak kaya? Itu, kita kena fikir. Orang tanya, ini Kompleks MADANI apa kena mengena dengan apa yang diucapkan? Kerana MADANI ini makna pembinaan insan, ada nilai. Kompleks ini RM25 juta.
  1. Saya baru umum petang ini nak buat Simpangan Juru kerana sesak dan orang Pulau Pinang, orang Kedah dan orang Perlis complaint saya tidak larat dengar dah. Tapi kos dia hampir RM4 bilion. Dari mana kita mampu dapat wang itu semua? Dari hasil cukai rakyat terutama yang pendapatan tinggi. Tapi bila kita kenakan umpamanya baru-baru ini, kadar elektrik kepada orang paling kaya, 15 peratus paling kaya di Malaysia. Tapi yang marahnya Ahli-ahli Parlimen Pembangkang. Saya tanya, kamu ini wakil siapa? Kamu ini nak jadi jurucakap siapa? Jurucakap orang kaya atau rakyat? Kalau kita jurucakap rakyat, biar orang kaya bayar cukai jangan kenakan orang miskin. Itu dasar kita. Tapi yang marah, yang jerit ini siapa? Semua orang besar-besar. Seorang demi seorang. Seorang Tun, kemudian Tan Sri, kemudian Datuk Seri. Harta ratus juta, harta bilion ringgit disiasat oleh SPRM. Dia kumpul dengan kekayaan semua, lanyak kita habis-habisan. Bayar orang supaya lawan. Rakyat kena sedar.
  1. Kita bila ada kuasa, amanah. Fatawakkal ‘alallāh, innallāha yuḥibbul-mutawakkilīn. Tawakal pada Allah SWT. Tetapi kalau saya ikut sahaja cara lama, tidak apalah pakat-pakat curi seorang sikit. Hang tolong aku, aku tolong hang. Sampai bila negeri ini hendak jadi bersih? Sampai bila hendak maju? Ini saya saja hendak sampaikan, kerana bila kita sebut MADANI ini, dia tidak boleh lari dari akidah, dari akhlak dan dari nilai. Ya, kita kena bangunkan negara. Ya, teknologi baru mesti ada. Ya, anak-anak kita sekarang kita bagi peluang TVET. Pendapatan mesti tinggi. Penjawat awam gaji dia jangan lekat sampai lama. 12 tahun tidak naik. Kita naikkan. Berapa kos dia tahun ini? RM10 bilion tambah. Tahun depan berapa? RM18 bilion ringgit. Terutama yang pangkat-pangkat rendah. Yang rendah kita naik, sebab dasar kita ubah. Dulu, kalau naik had tinggi, naik lagi tinggi. Mula yang paling tinggi Perdana Menteri kemudian Menteri-menteri. Kemudian naik KSU, KP semua naik, naik, naik, naik. Bawah itu naik sikit. La ni dak. Tanya YB Tuan Nga Kor Ming, menteri tidak naik. Potong lagi 20 peratus. Yang naik siapa? Yang bawah. Yang atas naik sikit. Yang bawah naik banyak sampai 30 peratus, 35 peratus. Sebab itu kos tahun depan untuk naik gaji penjawat awam ini RM18 bilion ringgit tambah daripada dulu. Tapi orang tanya, kalau begitu mengapa buat? Saya kata, tak buat macam mana, dia kerja lebih banyak. Dah 12 tahun tidak naik. Kita kata ekonomi bagus, pelaburan masuk, gaji dia tak naik. Itulah sebab kita buat skim.
  1. Jadi, yang kerja-kerja di bawah ini, janganlah. Yang kerja-kerja dengan Majlis Bandaraya, janganlah duk tumpang hentam kita sama. Sedaq sikit. Sebab, kita buat sungguh-sungguhnya. Saya tidak peduli, hang maki, maki lah. Kerja kita jalan. Sebab apa? Sebab ini amanah. Dah lawan lama dah. Oh dia kata, dulu kita janji, tidak tunai. Saudara, kita tidak boleh buat semua dalam dua (2) tahun. Bila buat, hangpa yang caci lagi teruk. Naik cukai bagi orang kaya. Hangpa jadi jurucakap, pertahanan mereka. Jadi kita buat apa pun dicaci. Buat hari ini projek. Tadi saya di Seberang Jaya. Pertama, kita buat Pelan Induk Bumiputera. Perumahan Tunas MADANI Bumiputera. Sebab nak bercakap Melayu tidak ada rumah, Melayu buatlah, dah ada kuasa bercakap dengan Ketua Menteri YAB Chow Kon Yeow betul-betul minta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi kerjasama, itu cara kita. Ini duk mengeluh-mengeluh Melayu tak ada, Melayu tak ada, hang kaya. Mana pemimpin-pemimpin besar tak kaya? Haa duk mengeluh. Jadi masa ada kuasa buatlah.
  1. Sebab itu saya lantik balik Tan Sri Khalid Ramli dulu ini, dulu dia TKP minta Pengerusi, rancang baik-baik dan dapat kita luncurkan beberapa. Ada plan saya akan sebar semua, macam Dato’ Haji Mohd Tuah bin Ismail ada, YB Dato’ Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik ada di Balik Pulau sebar betul-betul, bahas. Tang mana lagi yang tidak kena. Anwar kami nak cadangkan ini lagi, tambah lagi, tambah lagi, lagu itulah kita kena buat. Bukan saya boleh jawab semua, bukan saya tahu semua. Tapi kita cuba sedaya upaya. Sebab itu saya kata bila kita perubahan Kerajaan ini, ‘in uridu illal-islah mastata’tu’ doa kepada Allah Taala buat sedaya upaya.
  1. Kemudian itu perumahan Teratai MADANI. Kemudian ada perubahan besar 6000 unit. Syarikat swasta. Paling murah rumah RM 235,000, paling tinggi RM 405,000 ribu. Syarikat swasta, tapi kita bagi syarat, bukan syaratnya ambil masuk poket 10 juta atau macam kes Tan Sri Syed Mokhtar itu dulu ingat, masuk ratus juta masuk akaun parti. Bila saya jadi Perdana Menteri, saya telefon Tan Sri Syed Mokhtar. Saya kata betul ke bagi, dia kata dah depa minta buat macam mana dah siasat, tak buat kalau susah tak bagi, baik. Jadi saya tanya jadi kalau kita boleh bagi okey bagi, baik. Bagi 60 juta kepada pesawah padi miskin di Kedah. Ada dia sebut sekali, tidak. Saya cakap dengan dia boleh tak kalau dah ada bagilah kepada orang. Jadi kita bagi tahun sudah RM 60 juta ringgit kepada pesawah padi miskin di Kedah.
  1. Itu beza dia, sebab saya tak ambil wang mentedarah untuk peribadi. Ini prinsip kita kena jaga, saudara-saudara. Boleh buat, tapi bila kita dengar kempen ini oh! dia khianat, oh! ya dia khianat, Allahuakbar! khianat apa? Aku pun tidak tahu, tapi dia khianat. Jahanam negara ini. Jadi orang yang rasuah yang kaya-kaya riuh rendah dia bercakap eh memang dia ada duit. Jadi kita kena ingat nak pilih apa dalam negara kita ini.
  1. Oh! 24 tahun seorang, yang lain itu dua-dua tahun setahun dah jadi Perdana Menteri. 24 tahun (22 + 2) bila bercakap Melayu kita dah teruk lah ini, Anwar ini dia tak peduli Melayu dah, aku ni Melayu. Tapi saya ini Perdana Menteri betul saya nak jaga Melayu. Tapi saya Perdana Menteri Malaysia. Saya nak orang Cina pun dijaga, orang India dijaga, orang Dayak, orang Sarawak barulah negeri ini aman.
  1. Macam kompleks ini saya ingat mungkin saya tak tahu, mungkin 80% orang Melayu sebab kawasan ini kawasan Melayu tak ada masalah. Cina hendak meniaga dia meniaga tempat dia, jangan kita jadi masalah. Ya sebab itu perumahan yang swasta buat ini saya kata kena ada juga yang rendah, kerana RM400,000 orang Melayu tak ramai boleh beli. Ya dia kata tak, dia buat RM280,000 dan lebih daripada 50% orang Melayu beli. Jadi macam tu cara dia, nak gaduh buat apa? Oh, tapi tidak, Menteri Besar ini DAP tak boleh percaya. Haa bergaduh lagu itu la tak habis-habis, saya bercakap je elok-elok.
  1. Projek-projek lulus cepat saya sebut tadi. Terima kasih kerana projek termasuk yang bumiputera tadi saya sebut rekod lulus oleh Bandaraya Seberang Perai kurang daripada sebulan. Tak ada mana-mana negeri perbandaran boleh meluluskan secekap itu. Jadi terima kasih lah, projek bumiputera. Ketua Menteri Cina tapi dia lulus cepat, tak apalah. Kalau dia nak lulus lagi satu projek Cina dalam 2 bulan yang ikut peraturan jalanlah, nak bergaduh buat apa. Ini patut jadi pendekatan kita, ini duk gaduh kita duk marah di bawah ini, Cina marah dekat Melayu, Melayu marah dekat India, India marah dekat Melayu. Jadi kita bergaduh di bawah. Yang atas tolong tolong kaut. Pemimpin-pemimpin Melayu, Cina, India yang di atas kaya semua, yang kita gaduh semua, tak bodoh ke jadinya. Ini saya nak pesan kepada Kawan-kawan Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Pulau Pinang lah umumnya kita tengok ke depan.
  1. Saya tidak nafi masalah ada. Masalah ada dan ini tahulah dunia politik. Ini masalah dengan Trump. Presiden Donald Trump sudah kenakan tarif pula dah. Kita duduk tengah runding, nak runding pun ada syarat-syarat dia. Dia minta sesetengah kita tak bagi. Semalam Mesyuarat Jemaah Menteri, YB Nga Kor Ming ada. Kita bagi ketetapan boleh tolak ansur dengan China. Kita kena kawan dengan Rusia. Kita kena kawan dengan Amerika pun kena kerana kita nak dia berniaga dengan kita. Dan kita ada pendirian kita. Janganlah oleh kerana kawan kita dia kawan tak boleh bercakap pasal Gaza. Israel serang Iran tak boleh bercakap, dak kita bercakap. Tak banyak negara di dunia pemimpin yang berani bercakap dengan Presiden Iran saya bercakap dengan Presiden Iran. Menyatakan sokongan kerana kezaliman dan keganasan dilakukan oleh Israel.
  1. Ada orang kata Anwar jaga-jaga ya. Ada pembangkang yang seperti parti Islam ini terima kasih ataupun bagi sokongan, tak ada, dia cerca terus. Kerana apa? kerana hasad dengki, kerana dendam. Padahal hal macam ni macam Gaza kita paling lantang. Sebab orang di bunuh, tanah dia rampas. Tak kita tak setuju, kita tahu kita ada pelbagai kaum kita orang Islam, orang Buddha, orang Kristian ke orang Hindu ke? kalau dizalimi kita kena bela. Itu kita diajar begitu. Jadi saya percaya kalau kita faham kita boleh maju ke depan.
  1. Orang tanya saya masalah selesai semua ada. Adakah saya puas hati? Tak. Tanya YB Nga Kor Ming dalam kabinet. Tanya sekali, ayam harga berapa? daging apa pasal? macam ini daging import murah pasal apa tak boleh buat lagi Mat? bawang tak cukup Mat, macam mana boleh tanam lebih? itu kita kena buat. Tapi mana boleh selesai semua. Yang nak kritik kita hangpa dulu jadi Kerajaan 3 tahun buat apa? Jadi kita buat saudara-saudara.
  1. Sekarang ini oleh kerana kos sara hidup itu tinggi, kita pastikan naik gaji minima RM1700, cukup? Tak cukup. Tapi kita naik daripada RM1500 dulu nak jadi RM1700. Kemudian, kita ada syarikat-syarikat Kerajaan. Kerajaan tetap gaji untuk pegawai Kerajaan paling kurang keseluruhan pendapatan dia RM2,000. Tapi takkan syarikat Kerajaan Petronas, TNB, Telekom, bank-bank yang di bawah khazanah dan PNB ini takkan nak biar gaji rendah? Jadi saya kata kena naik. Yang kita naik RM2500 naik RM2800 minima dan sekarang kebanyakan naik sampai RM3,000. Itu saudara, Kerajaan prihatin MADANI.
  1. Saya nak tanya kita buat sekarang pasal apa tak buat dulu? Cuba jadi orang kita kena tahu ini. Kita naik ini kerana ini jumlahnya ratus ribu yang kerja. Kalau Kerajaan, pegawai Kerajaan 1.4 juta. Baik, selesaikan masalah kos barang tidak? Tetapi ini dihadapi semua negara. Thailand bergolak 3 Perdana Menteri seminggu. Kita, 4 Perdana Menteri 5 tahun, itu dia nak turun-turun tu. Insya-Allah saya tak turun. Kalau aku curi duit orang suruh turun tak apa lah. Saya tak curi duit orang.
  1. Oh, pasal kes-kes lama, kes lama, kes lama. Saya jadi Perdana Menteri ini dah nak masuk 3 tahun. Saya nak tanya, mana ada kontrak kita bagi runding bagi dia begitu semua orang kena tender. Semua kena tender secara telus dan teliti. Dan saya sebut dalam Jemaah Menteri, kalau ada kes, saya tak akan pertahan saya bagitahu awal-awal. Dan kalau ada pemimpin ada kekayaan ratus juta, hang jawablah sendiri. Jadi ini yang kita cuba lakukan saudara-saudara.
  1. Tapi saya katakan semua negara. Kita mesyuarat pemimpin ASEAN. Saya pergi Brazil, BRICS jumpa Presiden Luiz Inácio Lula da Silva Brazil. Dia pun kata masalah besar kerana kemiskinan dia disesetengah kota macam Rio de Janeiro 50% di kota itu. Dia tanya saya macam mana? How do you deal with? Saya kata tak mudah. Sebab itu saya mula dengan kemiskinan tegar. So saya paling miskin dulu susu anak tak cukup baju sekolah tak cukup itu kita cuba selesai.
  1. Kemudian kita tingkat sikit lagi buat TVET, dulu TVET anak-anak kita tak nak pergi kerana gaji rendah. Sekarang dengan industri memerlukan kepakaran AI, digital, teknologi baru, 160,000 yang daftar masuk TVET tahun ini. Ya dia daftar maknanya belanja kena bilion lagi, tambah bukan murah. Tapi cukup tak? sekolah sesak. Sekolah kemudahan tak cukup. Bukan kemudahan tak cukup tandas pun tak repair. Dah berpuluh tahun dah kita ingat lagi tanya guru-guru yang ada tanya ibu bapa. Tiap sekolah ada tandas 4-5 rosak. Jadi saya kata selesai itu dahulu, dah depa kata Perdana Menteri tandas. Tapi saya tak peduli kita kena buat kerja. Baik, dah habis kena siap kemudahan asasnya. Jadi dalam projek kita sekarang ini saya duk cari jalan bagaimana nak ringankan beban rakyat. Ada batas dia tak mudah.
  1. Jadi, oleh itu saya kata beberapa hari, bagilah saya beberapa hari lagi, saya duk pikiaq duk pulunlah macam mana nak kurang? Maka bagi beberapa hari, saya nanti umumlah hal yang kurang, bagi ringan sikitlah otak, runsing rakyat ini dari segi apa yang boleh saya mampu. Jangan pula minta RM1,000 seorang. Tapi kita cari ikhtiar untuk meringankan.
  1. Tadi di Seberang Jaya saya sebut kadang-kadang benda tak ada apa pun, dia jadi riuh rendah. Sampai tunggu, sampai Majlis Raja-Raja, pasal kes hakim. Oh! Anwar ini khianat. Anwar ini campur tangan politik. Anwar nak lantik orang dia jadi Ketua Hakim. Macam-macam saya nak jawab, tapi tak boleh. Pasai apa tak boleh? Saya Perdana Menteri, benda itu kena bawa ke Yang di-Pertuan Agong, lepas Yang di-Pertuan Agong berkenan nak kena bawa Majlis Raja-Raja Melayu. Saya kena berdepan Raja-Raja. Kalau saya sebutlah orang ini bukan, orang ini ye. Tak boleh. Jadi saya diam. Depa balun kita. Depa kata orang inilah, orang itu. Tanyalah saya dulu. Ini yang saya minta. Kemudian oh dia kata dak, memang ada nama. Saya kata tak ada. Baru ini bila Mesyuarat Majlis Raja-Raja, sembilan wakil Raja-Raja dengan Perdana Menteri. Bila dia tanya begitu begini, jadi Tuanku Sultan Selangor, dia Pengerusi, dia kata dua bulan, tiga bulan sudah Perdana Menteri jumpa dia. Nama yang disebut riuh-riuh itu tak ada pun. Jadi dia tanya Tuanku Agong, saya jawab bagi pihak, saya kata tak ada, Tuanku tak sebut pada saya pun. Jadi Perdana Menteri pun tak sebut. Agong pun tak sebut. Jadi Sultan Selangor kata siapa dia yang duk riuh ini? Orang lain.
  1. Tapi kita kena sabar, seminggu tu kita kena sabar. Sampai orang saya pun ada yang gemuruh sama. Eh betul ke tak betul macam mana ini? PM ini kita nak pertahan macam mana ini? Relaks lah, tenang, sabar sat ja. Kemudian bila sampai Mesyuarat Raja-Raja tengok senarai, kita bincang. Alhamdulillah. Sekarang Majlis Peguam pun kata kita sokong. Tapi iyalah, aku dah kena balun lama dah. Tapi tak apa lah, yang itu kita maknanya kita maju terus. Jadi saya harap mudah-mudahan itu sebagai contoh, contoh bagaimana fitnah.
  1. Jadi yang nak sampaikan apa? Negeri kena aman. Politik kena stabil. Tatakelola, tadbir urus kena baik. Negeri kena maju. Dengan AI saya sebut tadi, dengan TVET dengan semua. Sebab negara-negara jiran ini dah ‘kacau’ dah. Cambodia tegang di sempadan lawan Siam. Myanmar masih bermasalah. Thailand bergolak lagi. Indonesia jauh lebih stabil, tetapi masalah Rupiah dan pasaran saham memang perlu ditingkatkan. Filipina ketegangan. Di antara Bongbong Marcos, Presiden dan mantan Presiden Duterte.
  1. Malaysia ini rantau aman. Negeri aman di rantau yang begitu. Jagalah. Selera orang politik, tak ada masalah. Guna Parlimen, kritiklah. Kalau dia ada cukup jumlah. Dia bawa usul, itu cara dia. Tariklah mana-mana Ahli Parlimen nak sokong dia, sokong. Kalau dah saya kalah, saya letak dengan baik. Itu cara aman. Kalau tidak, tunggulah pilihan raya. Bila? Saya belum bagitahu. Tapi sementara ini, jagalah. Inilah satu negara yang aman.
  1. Bayangkan minggu sudah, Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio ada di sini. Menteri Luar Rusia, Lavrov di sini. Menteri Luar China, Wang Yi di sini. Jumpa saya bincang. Ini negara pertama setelah beberapa tahun, setelah Trump jadi Presiden, barulah Menteri Luar Amerika bincang dengan Menteri Luar Rusia soal Ukraine. Menteri Luar China bincang dengan Menteri Luar Amerika mengenai tarif yang dikemukakan oleh Trump. Menteri Luar Thailand dengan Menteri Luar Cambodia bincang di mana? Di Kuala Lumpur.
  1. YB Dato’ Mohamad Hassan, Menteri Luar Malaysia bincang dengan Menteri Luar Myanmar tentang perdamaian di Myanmar. Di mana? Di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur tu jadi tempat orang ada keyakinan kerana stabil dan negara dianggap kawan kepada mereka semua. Setiausaha Negara Marco Rubio bagitahu saya, Presiden Trump akan datang untuk sidang ASEAN bulan Oktober ini. Jangan tepuk, saya pun dok pening nak sambut. (nada bergurau). Kemudian nanti China, Presiden China baru datang dua bulan lalu, kemudian Premier Li Qiang pun datang. Saya pergi Brazil, di depan khalayak 2000 peniaga, majlis khas ada masa itu, Perdana Menteri Modi, ada Presiden Luca della Robbia, ada Presiden Afrika Selatan dalam semua tu, dalam pidato pembukaan majlis dengan peniaga-peniaga negara BRICS. Itu dia minta dia sampaikan ucapan, dia minta saya mewakili semua untuk menyampaikan ucapan. Bukan kerana Anwar, kerana penghormatan dia bagi kepada Malaysia. Modi ada.
  1. Yang orang kita yang sakit hati sangat-sangat ini. Dah tak larat pun berkempen lagi. Kerana? Sakit hati. Dan Presiden Lula Brazil, Brazil ini negara paling besar, paling ramai penduduk, paling kaya di Amerika Latin. Presiden Cyril Ramaphosa, negara yang paling kaya di Afrika, Afrika Selatan. Dua dua bagitahu saya, mereka nak hadir sidang ASEAN. Ini ASEAN, tahu dak ASEAN ini Asia Tenggara. Yang nak datang, Perdana Menteri Mark Carney, Perdana Menteri Kanada telefon saya dan bagitahu, “Anwar, I’ll join you for ASEAN Meeting.” Saya pun kata, baguslah. Mesyuarat ASEAN. Saya jumpa Perdana Menteri Itali, dia akan datang. Itali ini yang luar daripada ASEAN. Selain daripada Jepun, Presiden Korea telefon, dia datang. Perdana Menteri Jepun, Ishiba kata datang. Sekarang ini Premier Li Qiang, datang.
  1. Saudara, ini Malaysia sekarang. Orang iktiraf kita untuk apa? Peluang pelaburan, dagang untuk faedah rakyat Malaysia. Peluang pekerjaan lebih baik. Itu harapan saya. Bukan saya pergi bercuti, saya pergi tu ajak, marilah. Orang kata oh datang bilion, mana ada. Infineon, RM26 bilion dah tengok di Kulim, tak jauh Kulim Hi-Tech dah jalan dah, dah masuk dah. Nvidia di Johor, dah masuk. Google, RM10 bilion dah masuk, dah start. Pi lah tengok.
  1. Takkan saya nak rasmi, saya boleh pilih nak rasmi yang besar-besar tu. Tapi saya pilih nak rasmi Kompleks MADANI Teluk Kumbar, tahu tak, faham tak. Ada projek yang masuk bilion-bilion, Infineon ini duk tunggu, Nvidia di Johor tu tunggu saya nak pergi. Dia minta saya pergi. Saya kata tak palah tunggu Ogos, aku pilih mana dulu? Ini, pilih Teluk Kumbar dulu, RM25 juta baru mai. Bukan masalah saya nak pilih susah. Bukan tak ada, ada. Ada projek bilion-bilion, okey, tapi kita masalah rakyat, bagi faedah langsung kepada rakyat.
  1. Jadi cadangan tadi, macam mana nak minta macam itu, minta ini, dah aku mai cukuplah. Dia minta kata UTC, kemudahan. Jadi yang boleh saya putus sekarang, dia ada UTC Komtar, ada UTC di Bagan, satu. Jadi kita buat Mini UTC di Kompleks MADANI Teluk Kumbar. Kemudian, kerana siapa pun tak minta peruntukan. Zul tak minta, Tuah pun tak minta, Bakhtiar pun tak minta. Tapi dia tak minta, dia faham saya. Dia kata kami mai tak kan nak beban Perdana Menteri. Tapi saya tahu senyum tu senyum dalam tangisan. Senyum dalam tangisan ini lawak lama P Ramlee tu. Dia senyum. Saya masa di Sungai Buloh dulu, ada satu majlis makan hakim. Hakim kata kat saya, “oh Dato’ Seri nampak relaks, tenang, senyum.” eh padahal saya duduk penjara tu. Saya jawab, “senyum dalam tangisan.” Terbakar kampung, nampak asap. Terbakar hati, siapa yang tahu?

  1. Dan oleh kerana saya tahu, dan saya gembira dengan projek ini. Maknanya Kompleks MADANI yang menyeluruh, projek yang bukan sahaja dewan, bukan sahaja tempat perniagaan, tapi dia agak besar dan memenuhi keperluan penduduk di sini. Jadi untuk Kompleks ini dan untuk kawasan semuanyalah, saya akan bagitahu kepada ICU untuk tambah peruntukan untuk kemudahan-kemudahan asas mana-mana kawasan di sekitar Barat Daya Teluk Kumbar, Balik Pulau ini apa perlu. Selain yang telah diluluskan, yang baru saya tambah RM5 juta. Dan ini, projek ini akan dibelanjakan tahun ini juga. Ini beza, ini saya dah lulus, bila belanja? Tahun 2028. Dak, ini Kerajaan MADANI, tahun ini saya lulus, bulan Julai ini dan tahun ini akan dilaksanakan projek-projek yang diselaraskan selain daripada yang telah diluluskan. Jadi minta buat permohonan secara teratur supaya dapat kita luluskan.

Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: