TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS MAKAN MALAM JUBLI EMAS KE-50 GABUNGAN PERSATUAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL MELAYU MALAYSIA

Share:

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS MAKAN MALAM JUBLI EMAS KE-50 GABUNGAN PERSATUAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL MELAYU MALAYSIA

 

 

22 OGOS 2025 (JUMAAT) | 8:00 MALAM DEWAN

MATRADE, KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah rabbil alamin,

Nahmaduhu warna solli ‘ala rasulillah Karim,

Waala alihi wasahbihi ajmain.

 

Saudara Timbalan Menteri Ramanan;

 

Pengerusi Matrade, Reezal Merican;

 

Tan Sri Khalid, tetamu yang hadir, dan yang utamanya, yang penting malam ini, Presiden Gabungan Datuk Zainal Abidin dan seluruh pimpinan dan perwakilan yang hadir.

 

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat bersama-sama pada malam ini. Oleh kerana gabungan ini dianggap penting, jadi penjaja, peniaga kecil ini saya sudah beritahu Datuk Zainal Abidin, saya ada acara lain. Acara lain kena tangguh, kena jumpa penjaja dulu.

 

  1. Dan kalau saudara-saudara teliti, bila kita lihat di Kuala Lumpur ini, kerana di Kuala Lumpur ini di bawah Kerajaan Persekutuan secara langsung, saya hendak jadikannya jadi contoh. Contoh dia bukan kerana bangunan mercu tanda yang hebat, bangunan-bangunan mega yang besar, hotel-hotel 5, 6, 7 bintang, tetapi petandanya juga bagaimana satu kota dibangunkan yang memboleh memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

 

  1. Penjaja, peniaga Melayu ini dianggap kecil, memang betul. Tetapi sumbangan dia kepada rakyat, termasuk warga Kuala Lumpur, umpamanya sebagai contoh, warga kota umumnya, itu besar. Bandingkan berapa peratus rakyat di kota, Kuala Lumpur, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching, KK umpamanya, berapa peratus yang guna hotel 5, 6 bintang, dan berapa jumlah yang pergi ke gerai dan warung dan restoran kecil?

 

  1. Jawabnya, lebih 80% rakyat ke gerai, restoran yang kecil. Kalau begitu, bagaimana mungkin kita atur dasar negara dengan mengenepikan hal ini? Gerai, warung, restoran kecil, daif, bocor, tidak ada bekalan air dan kemudahan asas, tidak munasabah. Maknanya kita beri perhatian kepada 80%, yang lain yang ke hotel 5 bintang, dia tidak gaduh, kerana mereka mampu.

 

  1. Sebab itulah di Kuala Lumpur, seperti saudara tahu, saya gesa Bandaraya, beri tumpuan dalam 2 tahun ini. Saya ingat 60–70 gerai-gerai dibangunkan semula, diperbaiki, dan arahan terakhir saya kepada Bandaraya ialah menyediakan satu foodcourt kawasan peniaga dan penjaja kecil Melayu terutamanya yang hebat di Kuala Lumpur ini sebagai contoh.

 

  1. Dan saya gesa Kerajaan-Kerajaan Negeri dan PBT ambil contoh ini. Negara ini mesti maju, mesti angkat martabatnya dengan pelaburan tinggi, dengan industri baru, teknologi baru, digital, AI, kita tak nafikan kepentingan itu. Tetapi negara ini juga mesti naikkan lantai rakyat.

 

  1. Lantai ini maknanya majoriti rakyat, pegawai-pegawai rendah, pekerja-pekerja biasa termasuklah penjaja-penjaja dan peniaga kecil yang majoritinya orang-orang Melayu. Sebab itu saya gesa Kerajaan-kerajaan Tempatan, Kerajaan-kerajaan Negeri ambil contoh apa yang kita mula lakukan di Kuala Lumpur. Jangan abaikan kepentingan peniaga kecil, penjaja Melayu terutama di kota-kota kita dan saya harap malam ini, gesaan ini didengar oleh pimpinan-pimpinan negeri dan PBT.

 

  1. Kita nak nilai hebat Kuantan, hebat Temerloh, hebat Kota Bharu atau Alor Setar, bukan gedung-gedung baru sahaja, tetapi bagaimana Kerajaan Negeri, PBT lakukan dan tingkatkan kemudahan asas, bersih, indah, gerai, warung, pusat penjaja dan peniaga kecil yang baik dan indah. Ini kita sudah tumpu dan pengumuman tambahan akan saya lakukan bulan Oktober, masa Belanjawan nanti, insya- Allah.

 

  1. Saya mohon pengertian, kerana kadang-kadang dalam hendak pacu pertumbuhan ekonomi, nak jadikan negara ini segar, berjaya, kadang-kadang kita terlupa bahawa kelompok majoriti ini masih peniaga kecil, penjaja dan kalau lihat di Kuala Lumpur atau mana-mana kota, majoritinya masih Melayu.

 

  1. Ada orang tanya tentang dasar, apakah kita tidak beri perhatian kepada dasar Bumiputera dan Melayu? Kalau dia baca program kita dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) baru-baru ini, dia akan lihat program Bumiputera, PuTERA35. Sejak merdeka tahun 1957, Kerajaan MADANI adalah Kerajaan pertama yang isytiharkan tanah di Kuala Lumpur yang baru sebagai rizab Melayu. Kita ambil alih tanah Sungai Besi, 480 ekar, yang terlepas kepada syarikat-syarikat asing luar negara. Dan Alhamdulillah, dua (2) tahun yang lalu kita berjaya mengambil balik 480 ekar itu dan saya telah isytiharkan 50 ekar, kali pertama sejak Merdeka 1957 kita isytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu. Tanah mahal yang penting, dan kita akan bangunkan mengikut perancangannya.

 

  1. Kemudian saudara-saudara tahu, kita isytiharkan daripada Bangunan Sultan Abdul Samad, Padang Merdeka, Dayabumi, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur sehinggalah Carcosa Seri Negara, kita isytiharkan itu sebagai warisan. Maknanya semua pembangunan itu mengambil kira sejarah negara ini yang tentunya berpangkal kepada sejarah Sultan dan Raja-Raja dan pedagang Melayu. Sebab itu Bangunan Sultan Abdul Samad akan diberikan keutamaan, diindah dan dibangunkan semula, dan seluruh kawasan yang disebut Warisan. Ini dikenali di bawah pengawasan Khazanah.

 

  1. Tetapi saudara akan lihat umpamanya, selain daripada restoran 5 bintang dan sebagai yang indah dan taman indah untuk mengenali warisan dan sejarah Melayu dan negara ini, yang kita tekankan ialah food court untuk penjaja kecil, penjaja dan peniaga kecil Melayu supaya dapat bertapak di kawasan warisan yang baru itu.

 

  1. Saya harap yang rakan-rakan lihat, dan saya nak jadikan ini contoh supaya negeri-negeri lain laksanakan yang sedemikian. Kalau tidak projek yang berpuluh-puluh bilion itu jauh terasing. Kalau tengok projek-projek mega dulu, orang kecil nak berniaga pun tak ada tempat, terus terasing dan terpinggir. Alhamdulillah, di bawah Kerajaan MADANI ini kita kembalikan mereka dalam arus perdana, pembangunan dan itu kita lakukan.

 

  1. Datuk Zainal Abidin tentulah bila dia jemput saya itu dia ada hajat-hajat dia tertentu. Dia kata “bukan matlamat utama”, saya tahu matlamat utama itu panggil saya bagi makan. Tetapi sebelum saya berikan beberapa pengumuman, saya nak ucap terima kasihlah kepada KUSKOP, Kementerian, kepada TEKUN, Abdullah Sani pun ada. TEKUN yang banyak bantu dan MATRADE, walaupun MATRADE itu dia yang besar-besar untuk perdagangan antarabangsa, tapi kita sudah pesan supaya MATRADE cari jalan untuk bagaimana boleh selaraskan kegiatan. Bila ada pedagang-pedagang besar itu, ajak ke warung-warung. Saya biasa sangat dengan warung-warung ini, kerana mereka juga jadi base kalau yang saudara-saudara ingat pada zaman reformasi itu, tempat penjaja dan peniaga kecil itulah markas kita dulunya. Terima kasih banyak, saya tak lupa.

 

  1. Keduanya, seperti saudara tahu, setiap hari Jumaat, hampir setiap Jumaat, sebelum pergi solat Jumaat, saya mesti singgah ke warung atau gerai penjaja Melayu untuk makan tengah hari sebelum ke solat Jumaat. Tentunya sebagai Perdana Menteri macam-macam, pelbagai undangan untuk ke restoran 5 bintang di hotel-hotel terkenal, tetapi tiap Jumaat saya pilih ke warung penjaja Melayu. Jangan jadi sesetengah orang politik, dekat pilihanraya masa tu lah nak dukung baby, masa itulah nak pergi warung. 5 tahun dia tinggal warung.

 

  1. Jadi saya bagi contoh, tiap minggu seorang yang ditugaskan, diamanahkan sebagai Perdana Menteri mesti turun dan sampai ke warung atau gerai penjaja untuk sama-sama bukan sahaja menikmati tapi faham, pergi – bumbung robek, tanya air tidak cukup, kemudahan tidak ada, tetapi negeri gagah hebat. Itulah makna pengajaran yang kita perolehi yang menyebabkan saya berikan penekanan yang lebih untuk membangunkan.

 

 

  1. Untuk pengumuman khas ini, sebelum Belanjawan pada Oktober, supaya Datuk Haji Zainal Abidin beri ruang saya balik cepat (nada seloroh). Saya nak tangguh pengumuman tidak boleh, beliau kata selagi tidak umum tidak boleh balik. Untuk maknanya Oktober saya sudah beritahu Kementerian Kewangan dan kementerian-kementerian yang berbincang bersama merangka Belanjawan, bahawa di antara tumpuan kita termasuklah soal peniaga yang besar jumlahnya, yang membantu. Kalau gerai dan warung bersih, diindahkan, dibangunkan, bekalan air, kemudahan asas diperbaiki seperti kita lakukan di Kuala Lumpur ini, saya percaya akan menjadi satu tarikan, bukan sahaja kepada rakyat yang menggunakan kesempatan ini tetapi juga kepada pelancong.

 

  1. Jadi sementara tunggu bulan Belanjawan ini, saya luluskan setengah juta ringgit untuk persatuan dahulu. Jadi urus sendiri dan dana itu RM500,000 akan disalur terus kepada gabungan untuk dimanfaatkan untuk kegiatan dan perjalanan persatuan dan juga gabungannya supaya tidak terganggu perjalanan program yang disusun.

 

 

  1. Jadi, sekali lagi saya ucap terima kasih dan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala. Mudah-mudahan gabungan ini mantap, berkhidmat kepada negara, tekankan nilai-nilai murni dalam MADANI supaya kita bekerja, jaga keluarga kita, jaga negara kita supaya jadi negara yang hebat di rantau ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: