VERBATIM TEKS PENERANGAN PERSEDIAAN KERAJAAN MENGENAI DAMPAK PENGUMUMAN PENTADBIRAN AMERIKA SYARIKAT BERKENAAN TARIF TIMBAL BALIK IMPORT TERHADAP MALAYSIA
VERBATIM TEKS PENERANGAN
PERSEDIAAN KERAJAAN MENGENAI
DAMPAK PENGUMUMAN PENTADBIRAN AMERIKA SYARIKAT BERKENAAN TARIF TIMBAL BALIK IMPORT TERHADAP MALAYSIA
OLEH:
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
5 MEI 2025 (ISNIN)
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,
Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Ahli-ahli Dewan Negara, Ahli-ahli Dewan Rakyat, Speaker Dewan Undangan Negeri,
- Saya mulakan untuk melahirkan untuk menzahirkan ucapan takziah ke atas pemergian Almarhum YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia, anak Kepala Batas, Pulau Pinang dan menjadi Perdana Menteri, yang telah menabur jasa dan khidmat cemerlang kepada negara.
- YAB Tun Abdullah Badawi, adalah seorang yang punyai sosok yang sederhana tapi telah merangka beberapa pembaharuan awal, reformasi termasuk Parlimen yang akan dikenang sepanjang zaman.
- Negara telah memberikan penghormatan tertinggi untuk disemadikan roh Yang Amat Berhormat Tun Abdullah di Makam Pahlawan dan bagi pihak Kerajaan saya percaya rakyat Malaysia, kita merakamkan takziah kepada keluarganya dan mohon pada Allah SWT mudah-mudahan roh disemadikan bersama kalangan orang yang soleh.
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Saya juga ucap terima kasih kerana kesempatan diberikan untuk memberikan penjelasan mutakhir tentang keputusan tarif import yang tidak terduga yang menggugat bukan sahaja Malaysia tapi sistem perdagangan dunia.
- Tarif import ini maksudnya, keputusan unilateral Amerika Syarikat mengenakan kadar cukai yang membebankan sehingga memberi tekanan dan halangan kepada negara pengeksport.
- Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump mengumumkan langkah-langkah tarif timbal balas kepada hampir semua negara termasuk Malaysia. Malaysia dikenakan tarif 24% walaupun kadar ini ditangguhkan untuk tempoh 90 hari dengan mengenakan kadar asas sementara 10% dan sepertimana dimaklumkan eksport terbesar kita di bidang semikonduktor setakat ini dikecualikan.
- Tetapi kita berpandangan seperti juga rakan-rakan kita ASEAN bahawa, kurang wajar tindakan itu diambil kerana bertentangan dengan keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia yang diasaskan oleh kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat sendiri pada tahun 1948.
- Ini tentunya akan membebankan negara-negara berkembang terutama global south, negara-negara selatan. The strong do what they can, and the weak suffer what they must. Ini satu kenyataan sejak zaman Thucydides dalam History of the Peloponnesian War. Sebab itu diadakan sidang khas ini, supaya Kerajaan MADANI dapat menjelaskan ikhtiar-ikhtiar sedang diambil dan mohon kesepakatan bersama dengan mendengar cadangan balas Ahli-ahli Parlimen untuk kita kemaskini.
- Negara yang sehaluan dengan kita meneruskan perbincangan yang agresif. Ini termasuk ASEAN, China, Jepun dan negara-negara serantau. Dan insya-Allah akhir bulan ini kita adakan sidang kemuncak ASEAN bersama-sama Majlis Kerjasama Teluk, GCC dan China. Dan tentunya perkara ini juga akan menjadi agenda utama. Dan kita jangka akan memuktamadkan rundingan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dalam masa terdekat.
- Jadi kita membuka ruang mempelbagaikan pasaran. Daya tahan ekonomi domestik dan keyakinan itu perlu. Kita tidak harus terjebak dengan tekanan atau merasa sesak dengan tekanan luar. Kita punya angka dan data yang mampu dikendali dan dimanfaatkan dengan bijak. Dan kita harus yakin seperti mana tertera dalam al-Quran al karim dalam Surah Asy-Syuura 42:12:
Dia lah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Ia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
KEDUDUKAN EKONOMI NEGARA YANG KUKUH DALAM MENDEPANI DAMPAK TARIF IMPORT AMERIKA SYARIKAT
- Perlu ditegaskan bahawa asas ekonomi yang kukuh dan apa yang kita ungkapkan sebagai domestic economic resilience kita mampu mendepani masalah ini. Ini melibatkan reformasi struktur di bawah kerangka Ekonomi MADANI, kerana setelah melihat makroekonomi negara kita berjaya mencatat pertumbuhan KDNK 5.1% pada tahun lalu.
- Mengurangkan defisit fiskal dari 5.5%, 2022 kepada 5%, 2023 dan 1% defisit fiskal tahun lalu. Unjuran kita bagi 2025 adalah 3.8%. Kadar inflasi, 1.8% ketimbang 2.5% tahun 2023. Kadar pengangguran kekal rendah pada 3.3%. Pelaburan yang diluluskan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM378.5 bilion iaitu paras tertinggi tercatat dalam sejarah negara. Jumlah perdagangan 2024, RM2.9 trilion, iaitu peningkatan 9.2% ketimbang 2023. Eksport meningkat 5.7% kepada RM1.5 trilion. Import meningkat 13.2%, hampir RM1.4 trilion. Jadi prestasi kukuh ini menghasilkan lebihan dagangan RM137 bilion ringgit, berturut-turut selama 27 tahun sejak 1998.
- Dengan Amerika Syarikat, jumlah perdagangan pada tahun 2024 dengan Amerika Syarikat itu tinggi. Rekod RM325 bilion iaitu 11% dari jumlah perdagangan. Amerika Syarikat juga merupakan destinasi terbesar bagi eksport barangan Malaysia berjumlah RM199 bilion, iaitu 13% dari jumlah eksport Malaysia. Manakala import dari Amerika Syarikat, mencecah RM126 bilion, 9% daripada jumlah import Malaysia dan kita punyai lebihan dagangan sebanyak RM72 bilion ringgit.
- Saya sebut perkara ini untuk menunjukkan bahawa apa saja keputusan Amerika Syarikat, jika tidak dikendali dengan berhemah dan bijaksana tentu akan memberikan kesan kerana jumlah saya katakan pelaburan Amerika Syarikat keseluruhannya RM166 bilion yang telah mewujudkan 200,000 pekerjaan di negara ini.
- Tetapi pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat juga tidak kecil. Pelaburan Malaysia yang diluluskan di Amerika Syarikat, itu lebih RM35 bilion keseluruhannya. Sektor tenaga, bahan kimia, makanan, logistik dan teknologi tinggi. Dan pelaburan berkaitan Kerajaan dalam bon dan pasaran modal mencecah RM182.7 bilion, iaitu USD43.5 bilion. Jadi juga tidak kecil.
- Oleh itu, Kerajaan menolak dakwaan Amerika Syarikat bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47% ke atas import Amerika Syarikat ke Malaysia. Ini tidak benar dan disanggah oleh kebanyakan negara kerana jumlah import Amerika Syarikat daripada Malaysia 2024 itu mesti diukur secara menyeluruh dan tidak digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas 24%.
- Jadi kita menganggap pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh. Wakil kita menteri MITI telah kemukakan langsung kepada pimpinan Amerika dalam isu tersebut.
- Secara purata tarif yang dikenakan ke atas import barangan Amerika Syarikat hanyalah pada kadar 5.6% dan ini diakui oleh pejabat perwakilan perdagangan Amerika Syarikat dalam laporan “2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers of the President of the United States on the Trade Agreements Program” yang diterbitkan pada 31 Mac 2025.
- Kerajaan mengambil serius tindakan pengenaan tarif timbal balik (reciprocal tariff). Oleh itu, kita mengambil kira kepentingan Amerika Syarikat sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan terbesar. Kita berpendirian untuk meneruskan perbincangan secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia.
- Jadi kita telah membuat keputusan yang alhamdulillah bermakna, kerana tidak hanya bergantung kepada satu pasaran besar, dalam beberapa tahun ini kita telah secara agresif membuka ruang perdagangan baru. Jelajah sedunia mencari rakan dagang baru, termasuk GCC negara teluk yang alhamdulillah akan hadir dalam persidangan akhir tahun ini, dengan negara China, Jepun, Korea dan lain-lain. Dan BRICS kerana kita dapat menembusi pasaran Mesir, Brazil dan Afrika Selatan.
Tan Sri Yang DiPertua,
- Kita juga menekankan tentang keperluan meningkatkan intra ASEAN trade peningkatannya itu, tidak terlalu melonjak tinggi 4.2%, dan di kepada Kesatuan Eropah (EU) meningkat kepada 2.6%. Satu kesan positif ialah kesediaan (EU) untuk menyegerakan FTA Malaysia (EU) dan berikutnya ASEAN (EU).
- Dan seperti mana saya sebut tadi, peningkatan eksport ke pasaran bukan tradisional pada 2024 itu membanggakan. Saya sebut tadi tentang Mesir. Dengan negara Mesir peningkatannya ialah 53.6%, Pakistan 29% peningkatan dan Kemboja 30.1%. Ini menunjukkan bahawa lawatan-lawatan ke luar negara membuka pasaran baru, Peru, Brazil umpamanya memberi ruang kepada syarikat kita dan juga eksport barangan kita.
- Soal sekarang ialah impak ke atas eksport Malaysia dengan tarif Amerika Syarikat. Pada tahun lalu, produk (E&E) elektrik dan elektronik merupakan eksport utama yang menyumbang hampir 60% eksport Malaysia ke Amerika Syarikat iaitu RM119.9 bilion ke Amerika Syarikat.
- Walaupun sekarang ini dikecualikan tapi kita harus pantau dengan teliti kerana apa-apa keputusan yang melibatkan (E&E) import ke Amerika Syarikat tentunya akan menjejaskan pengeluaran bidang semiconductor (E&E) di Malaysia. Yang penting ialah bahawa Kerajaan MADANI harus membina ekosistem rantaian bekalan yang teguh serta mempelbagai produk dan pasaran eksport negara.
- Kita amalkan ekonomi terbuka dan oleh demikian, selain daripada meneruskan urusan dagang, pelaburan dengan Amerika Syarikat, kita harus lebih bersungguh-sungguh membuka peluang dan pasaran baharu. Suatu hal yang memprihatinkan ialah angka-angka terkini mengenai pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka menurut IMF World Economic Outlook antara bulan April dan Januari 2025 akan lebih sederhana. Ekonomi global telah disemak dari segi unjuran pertumbuhan kepada 2.8% ketimbang 3.3% sebelumnya. Unjuran pertumbuhan Amerika Syarikat turun dari 2.7% kepada 1.8%. Indonesia, dari 5.1% kepada 4.7%. Thailand, dari 2.9% pada 1.8%. Malaysia, dari 4.7% kepada 4.1%. Jadi sekarang kita sedang pantau apakah kesan sekiranya berlaku kerana pengumuman Presiden Trump adalah menangguhkan pelaksanaan selama 90 hari dan memberi ruang kepada perbincangan yang lebih teliti dan menyeluruh.
- Walaupun saya tidak dapat mengumumkan proses dan perisian terperinci kerana semua perbincangan yang diadakan baru-baru ini termasuk oleh rombongan yang diketuai oleh menteri MITI, ini kerana terikat dengan Non-Disclosure Agreement (NDA). Ini amalan antarabangsa. Mana-mana perjanjian sebelum dimuktamadkan itu mesti jaga kerahsiaan tetapi tentunya sebaik dimeterai, kita akan memaklumkan kepada jemaah menteri dan seterusnya kepada Parlimen.
- Seperti mana yang saya sebut, sekarang, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan badan-badan bertanggungjawab terpaksa meneliti semula secara dekat dan terperinci tentang unjuran dan kesannya kepada sektor dan juga kepada ekonomi secara menyeluruh.
IKHTIAR MADANI SEBAGAI TINDAK BALAS MENDEPANI IMPAK TARIF IMPORT AMERIKA SYARIKAT
- Kerajaan MADANI telah mengambil tindakan proaktif dengan mengambil beberapa ikhtiar awal, umpamanya menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Bank Negara dan lain-lain, yang saya pengerusikan untuk memastikan kita mengikuti perkembangan secara dekat dan dalam masa singkat ini pun telah kita adakan sidang sebanyak 3 kali.
- Pada 10 April 2025 yang lalu, Malaysia telah menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengenai tarif timbal balas Amerika Syarikat. Jadi kita agak proaktif dan kerjasama Menteri ASEAN kita hargai, kerana memberikan suatu komitmen untuk mengadakan perbincangan sama ada dua hala, bilateral, ada juga konsensus supaya kita dapat mengemukakan dalam rundingan dengan Amerika Syarikat, pandangan ASEAN dan strategi yang telah ambil oleh ASEAN.
- Kita lebih bimbang kerana kesan kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan juga kestabilan ekonomi rantau ASEAN. Tetapi, ASEAN secara senada dan bersetuju langkah yang lebih berhemah untuk meneruskan rundingan dua hala dan peringkat ASEAN, dan tidak mengambil tindakan balas kepada Amerika Syarikat, kerana perkara ini masih awal, belum dimuktamadkan.
- Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN juga telah diwujudkan. Ini pertama kali kerjasama, kesepakatan di antara negara-negara ASEAN untuk mengadakan strategi bersama dalam menghadapi Amerika Syarikat dan pada 19 Mei 2025, Menteri-menteri Perdagangan ASEAN dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan negara China.
- Pada 10 April 2025, kita mengadakan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara ASEAN dengan penekanan dan maksud yang sama.
- Seperti mana yang saya sebut tadi, Lawatan Kerja oleh YB Menteri MITI pendek tetapi berkesan, dan cepat diberi layanan. Malaysia merupakan antara 18 buah negara yang setakat ini berjaya mengadakan mesyuarat dengan pihak Amerika Syarikat.
- Setakat ini, tawaran Malaysia kepada Amerika Syarikat termasuklah menangani Halangan Bukan Tarif yang disenaraikan dalam National Trade Estimates Report 2025 yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat. Tapi, yang menarik ialah pertemuan rombongan kita yang diketuai oleh YB Menteri MITI dengan TYT Ambassador Jamieson Greer, United States Trade Representative dan TYT Howard Lutnick, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat. Maklum balas amat positif daripada Kerajaan Amerika Syarikat. Jemaah Menteri dan NGCC telah bersetuju supaya rundingan itu diteruskan dengan prinsip-prinsip yang kita sepakati.
- Perbincangan juga saya adakan melalui perbualan telefon berkali-kali dengan rakan-rakan sejawat ASEAN mulai 28 April 2025 yang lalu, supaya pandangan kita itu merupakan pandangan bersama sebagai satu kekuatan blok ekonomi yang besar kerana keseluruhannya kekuatan ASEAN itu melebihi, dari segi jumlah ekonominya, 4 trilion dolar pada tahun 2024, ini besar, dengan jumlah penduduk mencecah seramai 640 juta orang. Ini selaras dengan ungkapan yang pernah disebut oleh Amartya Sen:
“Globalization is not a monologue. It must be a conversation among equals.”
- Jadi sebab itu kita alu-alukan pengakuan dan kerjasama Amerika Syarikat untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia dan terdapat kemungkinan setakat ini untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan. Saya tegaskan bahawa proses ini masih di peringkat awal dan tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan, tetapi perbincangan dilanjutkan.
- Langkah-langkah yang diambil seperti mana saya sebut, Pertama, ialah Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC), untuk memantau keseluruhannya petunjuk ekonomi, tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja serta pertumbuhan pinjaman. Libat urus dengan pihak industri akan dipergiatkan.
- Kedua: Rundingan Penyelesaian Tarif Timbal Balas Dengan Amerika Syarikat. Apa yang kita tekankan? Ia termasuk perdagangan & pelaburan dua hala:
- Tahun lalu, Malaysia Aviation Group (MAG) telah mula rundingan dengan Amerika Syarikat untuk membuat tempahan 30 pesawat Boeing yang kini sudah dimuktamadkan;
- Proses perdagangan dan pelaburan akan dimudah cara seperti dalam bidang pertanian, kewangan serta digital, selari dengan kerangka ekonomi MADANI. Umpamanya, telah menarik pelibatan seperti Google, Amazon dan Microsoft sebagai sebahagian daripada usaha memajukan agenda digital sektor awam; dan
- Dasar mesra pelaburan juga dirangka bagi mempertingkatkan perlindungan hak harta intelek dalam bidang seperti cip elektronik.
- Ketiga: Membantu pengeksport yang terjejas khususnya PKS
- Sebagai langkah permulaan, sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju meningkatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS;
- Kerajaan turut bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas; dan ini akan kita pantau, khususnya dengan syarikat-syarikat PKS.
- Keempat: Menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu
- Seperti saya tegaskan tadi, peningkatan dengan Kesatuan Eropah (EU), Timur Tengah, Asia Tengah, Amerika Selatan dan Afrika mengukuhkan integrasi ASEAN. Projek pembangunan merentasi ASEAN seperti Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) yang telah disepakati dan telah diputuskan untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan disegerakan. Perdana Menteri Vietnam akan menandatangani penjanjian awal pada akhir Mei ini.
- Selain itu, beberapa langkah lain yang diambil seperti meningkatkan ikhtiar:
- Mempercepatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ);
- Projek pembangunan kawasan sempadan selatan Thailand di bawah projek pembinaan jambatan persahabatan kedua Rantau Panjang dan Sungai Golok di Narathiwat; dan
- Jajaran jalan baharu bagi menghubungkan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Sadao di Thailand untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan perdagangan khususnya di kawasan selatan Thailand dan utara Malaysia, termasuk Perlis, Kedah dan Kelantan.
- Pembangunan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Northern Corridor Economic Region – NCER) iaitu:
- Pembangunan Perlis Inland Port yang merupakan projek pelabuhan darat yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti logistik bernilai tambah;
- Pembangunan Chuping Valley Industrial Area memberi tumpuan kepada industri hijau seperti pembuatan hijau dan penjanaan tenaga boleh baharu demi pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut; dan
- Pembangunan kemudahan dan prasarana untuk tujuan pelancongan di Wang Kelian dan Bukit Kayu Hitam yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada hujung tahun ini.
- Kerajaan MADANI juga telah peruntukan
RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana di sempadan antara Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan Indonesia antaranya bagi memudah cara pergerakan barangan dua hala.
- Usaha dimantapkan di peringkat ASEAN+3 untuk mengukuhkan kerjasama kewangan termasuk menambah baik bantuan kecairan serantau Chiang Mai, yang disebut Chiang Mai Initiative. Itu menggunakan local currencies, tempatan untuk membolehkan penyelesaian perdagangan menggunakan wang tempatan. Ini telah meningkat di Indonesia, Thailand dan juga negara China.
- Rundingan dengan EU yang kini telah dipersetujui untuk dipercepatkan, iaitu EU-Malaysia.
- Ekoran daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia pada minggu lalu telah membuat penghantaran minyak sawit mampan ke United Kingdom tanpa sebarang tarif. Itu kejayaan besar.
- Rundingan perjanjian perkongsian Malaysia-EFTA telah selesai pada April 2025 dan dijangka akan dimeterai pada bulan hadapan, insya-Allah.
- Selain daripada Kesatuan Eropah, menyambung semula rundingan FTA dengan Republik Korea dan Kerajaan Jepun, yang menghubungi kita berulang kali, untuk meningkatkan kerjasama perdagangan setelah timbul isu tarif ini.
- Kerjasama dengan negara GCC itu menarik, kerana GCC sekarang merupakan kekuatan ekonomi yang agak gagah dan boleh juga meningkatkan usaha dalam bidang kewangan Islam dengan halal digital dan juga dari segi tenaga.
- Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM50 juta kepada MATRADE memandangkan tugas yang bertambah dan pemusatan kegiatan dalam mencari pasaran baru
- Kita juga sekarang mengambil keputusan untuk memudahkan perniagaan dan juga tokoh-tokoh profesional, modal insan global ke Malaysia. Ramai permohonan-permohonan baru yang akan diberi keutamaan, terutama yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan khusus, AI Digital dan lain-lain.
- Kelima: Mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan Kerajaan termasuk untuk pelaburan.
- Dalam kerangka ekonomi, dalam unjuran untuk tahun ini dan tahun depan, kita merasakan projek-projek pelaksanaan itu harus disegerakan dan ini termasuk pelaksanaan pemantapan prosedur perolehan Kerajaan yang dilaksanakan terutama yang melibatkan kontraktor kecil di kategori G1-G4.
- Had sebut harga ditingkatkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta dan had cabut undi daripada RM100 ribu kepada RM200 ribu untuk mempercepat kerja selenggara serta pembaikan seperti sekolah daif, klinik, jalan-jalan, desa dan sebagainya;
- Setakat ini, Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) berjaya dilaksanakan untuk mempercepatkan proses, terutama di Forest City dan JS-SEZ yang dimulakan sejak Februari 2025.
- Sukacita diumumkan, penubuhan IMFC berdasarkan tahap kejayaan mempercepatkan proses kelulusan pelaburan dan projek, kita akan memperluaskan dalam kadar segera di Pulau Pinang dan di Sarawak bagi menyediakan perkhidmatan kepada para pelabur di samping memantau prestasi kelulusan projek.
- Keenam: meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI terutamanya dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara.
Tan Sri Yang di pertua,
- Hal ini sangat penting kerana membina kekuatan negara ini mestilah dengan semangat dan resilience yang luar biasa di kalangan rakyat. Ini mesti diperhebatkan dengan pelbagai kaedah yang telah diperkenalkan termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) meningkat aktiviti nilai tambah bidang utama seperti (E&E) dan memperkukuh rantaian nilai domestik.
- Setakat 2025 RM80.5 bilion telah diperuntukkan termasuk pelaburan modal teroka serta dalam projek semikonduktor oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) RM8.5 bilion dalam masa singkat.
- Sebagai usaha memacu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Kerajaan telah meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) terutamanya tenaga solar. 2000MW di bawah LSS5 (fifth large scale solar) yang melibatkan pelaburan sebanyak RM6 bilion ringgit dan Kerajaan juga akan memperluas penggunaan panel solar atas bangunan Kerajaan terutama sekolah dan hospital.
- Agenda digital akan diutamakan penerimagunaan teknologi terkini. Selain daripada Fakulti AI di UTM juga kegiatan di universiti-universiti lain. Tetapi, yang menarik juga ialah kejayaan UPM yang diberikan tumpuan untuk post quantum cryptography yang merupakan di antara yang dapat menarik perhatian penyelidik dunia. Saya ucap tahniah kepada UPM dalam hal ini. Iaitu dengan blockchain untuk pembudayaan digital dalam sektor awam yang akan juga menjadi pemusatan kegiatan mereka.
- Kerajaan ingin menegaskan ini penting kerana banyak dibangkitkan. Apakah perbincangan dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain? CPTPP dan EU akan menyebabkan beberapa dasar induk kita ditukar.
- Jadi ingin saya tegaskan, beberapa dasar utama negara, dasar bumiputera, keperluan vendor tempatan, perlindungan sektor strategik, tidak akan dirobah dalam semua rundingan ini. Ini kerana sementara kita mahu mengikut agenda perdagangan bebas kita tidak boleh mengelak daripada melihat kepada kepentingan keselamatan dan kepentingan strategik negara.
Yang di pertua,
- Sekali lagi saya tekankan asas ekonomi yang kukuh yang sebenar menjamin kejayaan kita. Bukan kejayaan rundingan perdagangan, bukan kerana upaya menarik pelaburan asing ataupun membuka ruang pasaran baru. Sebab itu saya percaya dan yakin dengan kekuatan pimpinan jentera Kerajaan, sektor swasta dan tenaga kerja yang cemerlang akan dapat menyelamatkan negara dalam menghadapi kemelut sementara ini.
Terima kasih.
Assalamualaikum.