ASEAN: KEPIMPINAN MALAYSIA SEIRING TUNTUTAN KETARA BAGI PAKATAN PRAGMATIK

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025, mengusahakan hala tuju berkecuali yang menumpukan perdagangan selain menjalin kerjasama ekonomi dengan pelbagai negara bagi mengelak konfrontasi.

Namun, di sebalik beberapa pengecualian yang ada, dasar utamanya kekal teguh.

Kepengerusian Malaysia juga dilihat berlaku tepat pada masanya secara strategik ketika negara ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang julung kali diadakan, sekali gus memaparkan peningkatan permintaan bagi multilateralisme atau pelbagai hala.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Tadbir Urus Taylor ’s University Julia Roknifard berkata ASEAN dan GCC tidak berhasrat mengatasi satu sama lain dari segi kuasa dominan, sebaliknya mahu mewujudkan keseimbangan baharu yang menyaksikan kerjasama kuasa serantau dalam mengurangkan kebergantungan terhadap mana-mana negara tunggal.

“China yang menyedari risiko penglibatan asing, sememangnya mengelak taktik agresif yang dilihat di pelusuk lain dunia, termasuk paksaan ekonomi atau campur tangan ketenteraan,” katanya dalam kenyataan.

Rocknifard berkata tindakan paksaan sedemikian terbukti tidak berkesan sebagaimana dipaparkan oleh keadaan penyebaran nuklear serta konflik yang sedang berlaku.

Beliau yang juga pakar dalam kajian Timur Tengah dan keselamatan antarabangsa serta pengalaman akademik dan dengan organisasi antarabangsa, menyifatkan ketegangan geopolitik dan tindakan oleh kuasa global tertentu atas alasan mahu menstabilkan keadaan, hanya memecah-belahkan aturan antarabangsa dan menjejaskan sistem perdagangan global.

“Sebagai tindak balas terhadap perubahan ini, blok serantau seperti ASEAN, GCC, dan China telah mengasingkan diri daripada tingkah laku menjejaskan oleh Amerika Syarikat.

“Organisasi ini bukannya pakatan rasmi, tetapi kerjasama pragmatik yang bertujuan meningkatkan manfaat secara bersama dalam menangani kuasa lebih besar,” katanya.

Gabungan jumlah penduduk ASEAN, GCC dan China yang melebihi dua bilion orang, turut membentuk pasaran pengguna yang luas.

Secara bersama, kesemua rantau itu turut mempunyai simpanan tenaga dan komoditi yang besar manakala China menyumbang kemajuan pembuatan dan teknologi global, khususnya dalam tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik.

Roknifard juga berpendapat walaupun masa depan dunia multipolar ini kekal tidak menentu, alirannya jelas — organisasi serantau dan antara kerajaan semakin meningkat sebagai pusat kuasa baharu, menumpukan aspek melindungi kepentingan masing-masing selain menolak tekanan luar.

“Dalam jangka pendek, kerjasama sedemikian menawarkan harapan bagi kestabilan dan kerjasama ekonomi lebih hebat,” katanya.

— BERNAMA

TAG: Taylor’s University, ASEAN, Anwar Ibrahim, korporat

HHM HHM SPSA INA

Tuesday , 20 May 2025