Profil PM


YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Memulakan persekolah rasmi di Bukit Mertajam Boys School, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum meneruskan pengajian persekolahan menengahnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemudiannya telah melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1968.

Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun telah dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh pada 24 November 2022. Pengalaman dalam arena politik dan kepimpinan tidak sesekali dapat disanggah. Beliau begitu aktif dalam gerakan mahasiswa sejak dari zaman belia ketika menuntut di institusi pengajian tinggi. Beliau dikenali sebagai salah seorang daripada pengasas badan bukan kerajaan iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1972. 

Menelusuri penglibatan beliau dalam arena politik khususnya dalam Kabinet Malaysia bermula pada tahun 1982 sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Kemudian karier politiknya berkembang dengan cukup pantas, apabila beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983 (1983-1984), Menteri Pertanian (1984-1986), Menteri Pelajaran (1987-1990), dan Menteri Kewangan (1990-1998). Pada tahun 1993, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Pembangkang pada tahun 2008-2015 dan tahun 2020-2022.

Di arena antarabangsa, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bukan asing. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Center for Islam in the Contemporary World (CICW) sejak tahun 2019. Selain itu, beliau merupakan pengasas kepada International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan kini memegang jawatan Pengerusi Emiritus. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi IMF bagi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia untuk 1997-1998 serta Ahli Lembaga Pengarah dan Presiden Persidangan Agung UNESCO 1988-1991.

Sehingga kini beliau masih memegang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).