TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: LAWATAN KE CELCOM-DIGI AI EXPERIENCE (AIX) DAN PELUNCURAN CELCOM-DIGI YOUNG TALENT PROGRAMME

Share:

 

 

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

LAWATAN KE CELCOM-DIGI AI EXPERIENCE (AIX) DAN PELUNCURAN CELCOM-DIGI YOUNG TALENT PROGRAMME

 

 

26 OGOS 2025 (SELASA) | 2.30 PETANG

ARENA @ CELCOMDIGI HUB, SHAH ALAM

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara, Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Mulia Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin bin Raja Abdul Aziz,

Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi;

 

Yang Berbahagia Datuk Idham bin Nawawi,

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi; dan

 

Seluruh keluarga CelcomDigi, dan tetamu-tetamu yang saya muliakan yang lainnya.

 

  1. Ini satu penghormatan, kerana saya dapat bersama satu syarikat CelcomDigi gergasi dalam negara kita, CelcomDigi. Dengan rekod pencapaian yang membanggakan dan saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk menyatakan penghargaan kerana jasa, sumbangan dan khidmat cemerlang Datuk Idham sekian lama mengemudi CelcomDigi ini, terima kasih banyak.

 

  1. Dalam mengangkat martabat negara, semua rakyat harus dikerahkan untuk fokus ke arah pembangunan peningkatan mutu, yang ini disebut dalam kerangka Ekonomi MADANI yang telah saya cerakinkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) baru-baru ini. Kalau mahu negara ini maju, kita harus naikkan siling, dalam erti kata pertumbuhan harus lebih rancak, kegiatan ekonomi lebih terarah dan juga pelaburan, kegiatan baru, teknologi baru yang belum dibicarakan 20-30 tahun yang lalu, termasuk apa yang disebut transformasi digital yang terkait dengan apa yang kita bicarakan hari ini. Peralihan tenaga termasuk beberapa projek besar, ASEAN Power Grid dari Vietnam ke Kelantan terus ke Singapura dari Sarawak ke Semenanjung Singapura, ke Sabah Selatan Filipina ke Indonesia.

 

  1. Ini hal-hal baru selain daripada isu-isu yang merupakan kegiatan asasi kita termasuk perkembangan industry, teknologi moden dari segi pertanian, ini usaha kita untuk mengangkat siling pertumbuhan ekonomi. Kerana kalau siling itu tidak terangkat, kekal di takok dan tahap lama negara tidak boleh dipacu dan dianggap berjaya. Anak-anak tidak akan mendapat ruang pekerjaan yang lebih baik. Pengangguran akan bertambah. Tahap kemiskinan tidak dapat diselesaikan.

 

  1. Sebab itu, fokus kita dalam economic fundamentals ini penting. Tetapi apa erti pembangunan? Apa erti kejayaan CelcomDigi umpamanya? Ataupun projek-projek syarikat-syarikat gergasi yang lain, kalau tidak dapat menjamin bahawa kejayaan mereka juga akan memberi manfaat kepada golongan rakyat terbanyak. Latihan kepada anak-anak muda, menumpukan usaha meningkatkan talent mereka, keupayaan mereka, keterampilan mereka, kepintaran mereka, apalagi dalam meneroka disiplin alam pemikiran baru.

 

  1. Maka, bila saya dengar dan tentunya saya ikuti dari dekat perkembangan CelcomDigi dalam beberapa mesyuarat kadang-kadang Lembaga Khazanah ataupun dalam perbincangan dengan Saudara Fahmi dan kegiatan-kegiatan kerajaan lainnya, kita teliti. Dan saya sekali lagi ucap taniah kepada Idham dan seluruh keluarga CelcomDigi kerana beri tumpuan dalam penyelidikan, dalam latihan yang merupakan kegiatan-kegiatan yang harus kita berikan pemusatan dan juga usaha-usaha dalam penyelidikan dan inovasi. Dan hari ini meluncurkan CD:NXT. Sekali lagi saya salute kerana ini memenuhi maksud kita.

 

  1. Inilah yang dimaksudkan dengan menaikkan siling dan lantai. Kalau tidak siling naik lantai kekal. Upah sama seperti dulu. Bentuk latihan sama, tidak berubah. Keupayaan kita terbantut dan kita sibuk dengan hal-hal yang remeh. Soal kaum, soal kesempitan dalam agama. soal kebencian antara satu sama lain. Sebab itu kita agak keras dan tegas untuk meminta rakyat, terutama anak-anak muda, tumpu dalam hal-hal yang boleh membebaskan kita. Mengangkat martabat hidup kita dan keluarga kita dan menjamin masa depan Malaysia yang gemilang dan tersohor, bukan sahaja di negara tapi di rantau malah di dunia. Ini maknanya mengangkat, menaikkan lantai.

 

  1. Menyelesaikan masalah kemiskinan tegar, tidak mungkin kita biarkan kesenjangan membengkak dan melebar di antara golongan elit yang kaya. Membicara hal-hal yang mereka rasa penting, tanpa memisah dan menyisihkan majoriti rakyat. Tidak memahami keluhan mereka. Maka ini penting yang kita juga tegaskan dalam apa yang saya bicarakan sebagai mengangkat lantai. Meningkatkan lantai rakyat.

 

  1. Tapi dalam semua perkara ini, suatu prinsip yang saya percaya digunapakai oleh CelcomDigi dan bagi negara keseluruhannya. Mesti, pastikan negara ini ditadbir dengan telus dan bersih. Yang dalam kita rangkul sebagai kekuatan tatakelola yang baik. Jangan pandang enteng kerana negara ini pernah warisi kebobrokan kerana nafsu serakah manusia menggunakan kuasa memudah kekayaan, memperkayakan segelintir menggunakan kepentingan kaum untuk memperkayakan diri, menggunakan kuasa. Ini harus kita banteras kerana kalau tidak tanpa tatakelola yang baik yang disebut good governance dalam syarikat, dalam pentadbiran dalam Kerajaan, ini harus kita laksanakan dengan baik.

 

  1. Apakah mudah? Saya jawab daripada pengalaman saya, mencecah tiga (3) tahun sebagai Perdana Menteri, ini sukar. Membanteras rasuah besar, tidak mudah. Orang-orang ini berpengaruh politiknya, kekayaannya dan akan cuba sabotaj dan menghalang. Apalagi kalau kita punyai sikap yang tegas dalam isu-isu keadilan, kebebasan dan hak asasi sama ada dalam negara, di Gaza atau mana-mana juga di dunia. Sebab itu saya mengajak rakan-rakan dalam syarikat, termasuk CelcomDigi dan anak-anak muda supaya tahu dan bicara bukan soal diri kita sahaja, tetapi negara dan rakyat. Dan negara dan rakyat bermakna semua kita.

 

  1. Saya tidak bermaksud untuk melunturkan semangat kita sebagai Melayu atau Islam atau Cina. Tidak. Tidak perlu kita lunturkan budaya, semangat, bahasa, apalagi akidah dan akhlak dan sahsiah kita dalam Islam. Tetapi tidak perlu kita bicara soal kekuatan dalaman diri kita, agama kita, bahasa dan budaya kita untuk merendah, menghina, mengaibkan, memusuhi kalangan lain. Ini bukan ajaran Islam. Allah itu mengangkat darjat manusia. Allah has exalted the children of Adam, “walaqad karamna bani adam”, Allah mengangkat darjat manusia itu. Beza kaum, beza warna, beza bahasa dan budaya, tetapi kemanusiaan itu diangkat, tentunya kerana nilai. Kerana tahu di antara hak dan batil, benar dan palsu, adil dan zalim. Tahu menilai. Dan ini tugas kita.

 

 

  1. Apa kaitan dengan apa yang saya bicarakan ini? Naik siling, tingkatkan lantai, tatakelola yang baik. Kalau di kalangan anak-anak sekolah dan universiti, selalu saya sebutkan: kita ini mesti mengejar waktu, mengejar dan menuntut perubahan. Bukan sahaja reform tetapi new technology. Maknanya seolah-olah kita ni menggapai yang di langit. Teknologi baru yang canggih, yang rumit, rencam itu menggapai yang di langit, dan ini kemestian. Kalau kita tidak lakukan 5G, AI, kita akan tertinggal landasan dan ke belakang.

 

  1. Tetapi dalam menggapai di langit, jangan kita tinggal landasan, mesti mengakar ke bumi. Mesti tahu bahawa sementara kita gunakan seluruh kepintaran kita, dengan teknologi baru, dengan ilmu baru dan disiplin baru yang kita terokai, mesti mengakar ke bumi. Baik bahasa, baik budaya, baik jati diri, baik semangat Malaysia, memuliakan Jalur Gemilang, itu semua yang disebut sebagai mengakar ke bumi. Itu identiti kita, ini kebanggaan kita, ini kekuatan yang membina semangat perpaduan rakyat kita, “yang menggapai di langit, mengakar ke bumi”.

 

 

  1. Baik, serius dengar kuliah saya hari ini, relax, relax, relax (nada berseloroh). I mean, penting. Betul kita bicara soal perubahan, innovation, yes. Tetapi konteks menyeluruh kita kena faham. Now, apa kaitan kita dengan yang kita bicarakan? Idham, dia buat homework ini, dia tahu apa yang saya bicarakan bulan ini. Bulan ini bulan saya tekankan di mana-mana saya pergi, tentang ‘Gen AI Productivity Paradox’. Kerana kita semua cakap ini, AI, AI, AI, digital, digital, digital. Tapi kita mesti ingat dia ada apa yang disebut ‘Productivity Paradox’. You better Google after this, this intern. Mana intern? Angkat tangan. The intern, intern mana? Okay. First assignment: Google, apa itu ‘Productivity Paradox’ ataupun ‘Gen AI Productivity Paradox’, a very good summary by The United Nations University, Tokyo; summary by Mckinsey and many other reports. You must try and digest because, kena cuba hadam sebab bila kita belajar AI, perkenalkan AI, maksudnya itu lebih pintar, produktiviti harus meningkat, tapi tidak semestinya berlaku. Ini dia, ini disebut paradox.

 

  1. Dulu, saya ingat, bila Tengku ingat masa itu — 90s, 80s, late 80s — bila kita mula dengan komputer. Semua orang kerja beli komputer, tiap jabatan belanja bilion-bilion ringgit ini, semua mesti ada komputer. Kemudian, kita kata bila ada computer, maka kita mesti paper less, paperless. Tidak boleh paperless, paper less. Tapi banyak jabatan rupanya papermore. You see, ini disebut ‘Productivity Paradox’. Kalau pun tidak more, tidak less. Jadi maknanya apa? apa erti produktiviti? Jadi ini hal-hal yang harus memaksa kita untuk merenung, berfikir bagaimana harus kita tingkatkan keupayaan kita. Ini maknanya keperluan pusat penyelidikan dan inovasi, yang insya-Allah saya akan lihat bersama selepas ini. Itu pertama. Baik, itu yang pertama.

 

  1. Yang kedua, tentang AI. No, don’t worry, I’m not an expert. Struggling to learn sometimes from my children, my grandchildren who has better expertise in some areas. Although I will never admit to them. Tapi yang saya hendak tekankan ini ialah pertama, saya katakan tadi, ‘Productivity Paradox’. Jangan buat andaian bahawa sebaik kita belajar AI itu, digital, produktiviti akan bertambah. Tak semestinya. Ada penyelidikan, research yang membuktikan bahawa ini tidak berlaku. Dan masuk syarikat-syarikat besar seperti JP Morgan Chase dalam report. Itu yang pertama.

 

  1. Yang kedua, apakah perlu kita kuasai AI? Ya, harus. Dan sebab itu, saya pulang daripada UAE, saya ingat dua (2) tahun setengah yang lalu, saya terus anjurkan supaya universiti mesti memulakan fakulti AI. Sekarang, alhamdulillah, semua ada fakulti AI dan unit AI. Baik, makna teknologi harus dikuasai, dan dia tidak boleh birokratik. Hendak mulakan fakulti AI untuk jabatan, dia kena pergi fakulti, kena kemukakan, then board of studies, then senate, then KPT, then review by the Finance Ministry, it takes one year. Sementara itu, teknologi dah berubah. Jadi, the normal bureaucratic rule of machinery cannot work under AI regime. Which means you have to fasten the process. If we need to change, KSN has been quite progressive in this. He has taking measures to make sure that we can fast the pace to ensure that we do effectively implement this reform agenda and the new technology at the pace reasonable. Alhamdulillah, kita berjaya dalam bidang itu.

 

  1. Kemudian, apa lagi? Apakah AI ini sepertimana teknologi maklumat lainnya? Apa yang kita harapkan? Kerana kepintarannya. Baik. Tapi kepintaran dari mana? Dari apa yang dilontarkan dan dimasukkan kepadanya. Yang dia akan muntahkan, luahkan, dengan segala kepintaran mengambil semua maklumat yang ada dari maklumat ini yang dimasukkan. Sebab itu innovation kita, talent kita harus dilatih supaya memasukkan bidang, disiplin yang penting juga bagi kita. Yang dari Amerika ya, dari Rusia ya, dari China ya, tapi dari kita? dari agama kita, dari budaya kita, dari bahasa kita? “Enggak ada Pak”, kalau tidak ada, dia akan muntahkan apa yang ada. Jadi kalau tanya ChatGPT, ada yang tanya tak? Kadang-kadang saya tahu intern ini homework pun dia tengok ChatGPT. “ChatGPT, can you answer this question?” Brrrr keluar.

 

  1. So, make sure, siapa yang juru-juru latih make sure check them, check jangan dia hanya dependent purely on ChatGPT check, tanya, dia baca dia faham atau tidak buku mana, reference dia, jangan main nasib baik saya bukan mengajar di sini. I think you don’t mind, saya boleh buka kelas sesekali datang, just to check on the interns.

 

  1. Baik, so, maknanya kita mesti latih macam dalam intern dan pusat inovasi dan CelcomDigi, termasuk dalam rangka kita dalam CD:NXT Ini harus difikir bagaimana boleh kita latih talent yang boleh memenuhi keperluan kita. Apa dia keperluan kita? Tentu semua teknologi maklumat, apa yang Amerika, apa yang negara-negara China, apa yang di Eropah, kita harus tahu baik, di samping itu kita nak pertahankan juga sikap kita.

 

 

  1. Saya bagi contoh, Muslim Council of Britain (MCB) baru-baru ini, beberapa bulan yang lalu, dia tanya ChatGPT ayat Quran yang kaitan dengan mesej yang dia nak sampaikan. “ChatGPT, can you give me the Quranic verse on this?” Jadi ChatGPT pun tap tap tap keluar, dia pun okay, bagi mesej terus, major embarrassment sounds like the Quran, read like the Quran, but it is not the Quran, maknanya, kepintaran ingenuity manusia itu harus ada, membezakan di antara nilai dan human element dengan kepintaran teknologi maklumat dan AI yang sangat diperlukan oleh kita.

 

  1. Ada orang kata, oleh kerana itu jangan percaya lagi dah pada ChatGPT itu, lain-lain. Tak, tak, tak betul, dia hanya mengingatkan kita apa yang dimuatkan, mampu dilontarkan semula atau dimuntahkan semula. Siapa yang akan memuatkan? Kita. Anak-anak kita yang dilatih, jadi itu satu peringatan yang sangat baik bagi saya.

 

  1. Ini saya tanya Google Chief, saya tanya Nvidia (Jensen), saya tanya Infineon Chief, Microsoft, itu advantage lah jadi Perdana Menteri kalau saya nak tanya, kena jadi Perdana Menteri semua dia jumpa, saya boleh tanya, dia ada jawab tapi dia jawab, saya appreciate kerana dia jawab honest. Satya umpamanya, Microsoft dia jawab honest. Saya kata, “I find a fundamental flaw in the sense that what is being inspired in the system has its strength but inadequacies in terms of our values, our belief system, our faith”.

 

  1. Dia kata, “you are right, Prime Minister, you are right. Our task is to share our technology, but you please train your guy”, because machine ini, machine ini akan sekali lagi saya sebut, muntahkan apa yang kita masukkan. Sebab itu anak-anak dilatih itu harus punya cita-cita yang jauh untuk menjadi pakar-pakar pintar yang boleh perbaiki, memenuhi keperluan kita, keperluan semasa. Dan kalau tengok anak-anak dengan semangat mereka, saya percaya you can do it, and I trust insya-Allah you can do it for yourself, for your family, for this great Malaysian nation, insya-Allah.

 

  1. Now, akhir sekali dalam soal AI, apa isu dia? Isu dia ialah kesenjangan, yang dikatakan digital divide. Digital divide atau kesenjangan yang mungkin membengkak. Kita ini bertarung untuk mempastikan keadilan ditegakkan. Bagaimana boleh kita jamin keadilan ditegakkan kalau sekolah di Manek Urai, atau di Kapit itu jauh ketinggalan, tidak ada connectivity, tidak ada kelengkapan yang sangat asasi, dan bertarung, bersaing dengan sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan yang paling canggih. Jangan kita iri hati, mahu tarik peluang daripada sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan yang baik. Kita harus ada pendekatan untuk cari jalan memberikan kemudahan tambahan.

 

  1. Itu sebabnya, dan sekali lagi saya ucap terima kasih CelcomDigi, kerana saya macam pelbagai cadangan saya kemukakan, saya minta CelcomDigi pilih sekolah angkat, turun ke bawah banyak-banyak cawangan-cawangan yang ada itu, pilihlah sekolah angkat, saya minta pilih kampung angkat, saya minta bagi kemudahan-kemudahan dan latihan dan CelcomDigi beri sambutan yang sangat baik. Sekali lagi, terima kasih.

 

  1. Sebab, ya disebut tadi, saya bangga saya kebetulan juga Menteri Kewangan. Pelaburan 10 bilion itu penting. Sebab itu bila saya umumkan dalam Rakyat Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Belanjawan Negara, saya tak umumkan hanya projek development expenditure atau pembangunan oleh kerajaan semata-mata, tidak, tapi oleh syarikat-syarikat utama dalam negara lain disebut GLIC, syarikat milik Kerajaan, sebahagiannya agensi-agensi yang sebenarnya melabur besar dalam negara tapi pelaburan itu juga harus ambil kira isu-isu yang saya bangkitkan termasuk kesenjangan ini. Apa arti kita bicara soal connectivity 4G dan 5G, kita bicarakan soal AI, kemudian langsung tidak ada kaitan dengan majoriti rakyat kita yang terpinggir.

 

  1. Ini hal-hal yang bukan hanya harus difikir oleh pimpinan politik, tetapi oleh kita semua, kerana kita nak negara ini maju, ia tidak mahu ada yang rasa terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan. Ini sebab saya katakan AI dan transformasi digital harus juga menyelesaikan sebahagian daripada masalah yang disebut digital divide atau kesenjangan di antara kelompok yang bernasib baik di bandar dengan kelompok miskin bandar, desa dan pedalaman.

 

  1. Jadi mudah-mudahan dengan semangat itu, apalagi inisiatif korporat CelcomDigi dalam isu CD:NXT ini, akan memenuhi sebahagian daripada keperluan kita, kerana CelcomDigi, walaupun dia syarikat, tetapi dia bukan syarikat kecil. Ini syarikat yang besar, punya nama yang harum dan dikenali bukan sahaja dalam negara tapi juga di rantau ini, dan punyai peranan besar dalam mengangkat martabat negara kita, dalam bidang telekomunikasi, digital, dan AI.

 

Terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: