TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN HADIAH BAHASA PUBLIC BANK – DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

  

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PELANCARAN HADIAH BAHASA PUBLIC BANK – DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

 

 

HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulillah al-Karim.

Yang Berbahagia Timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha, Pegawai-pegawai dan Sasterawan-sasterawan negara.

 

Hari ini kita hadir selain merasa bertuah dan bangga kerana kita hidupkan balik satu ikhtiar yang baik sejak tahun 1983 yang diusahakan oleh Profesor Nik Safiah dan Dr. Awang Sariyan, Persatuan Linguistik yang saya dukung tetapi tenggelam sejak 1998, tidak tahu sebab-sebabnya. Sekarang saya kebetulan akhir tahun lalu teringat dengan acara ini, bagaimana harus kita hidupkan semula acara yang begitu baik yang pada ketika itu didukung sepenuhnya oleh Tan Sri Teh Hong Piow, Public Bank.

 

Tan Sri Hong Piow hadir setiap tahun tanpa gagal memberikan sokongan kerana acara ini dikembangkan dan melibatkan banyak sekolah, kolej, universiti dan sebab itu saya memilih tatkala terkenangkan kisah lama itu menarik pun Tan Sri Tay Ah Lek, dan dia kata “Tan Sri ingat?” of course dia kata sebab Tan Sri juga turut hadir dalam beberapa acara itu dan saya kata, boleh tidak kita bersama Dewan Bahasa dan Pustaka menghidupkan semula dengan ikhtiar baru supaya Public Bank teruskan agenda yang tertinggal 27 tahun itu.

 

Tan Sri terus katakan terus bagi dukungan dan saya maklum kepada YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan yang sibuk bertarung di Johor Bahru ini sekarang dan itulah permulaannya. Jadi, terima kasih Tan Sri Tay dan seluruh rakan-rakan dari Public Bank yang terus mendukung usaha ini dan meneruskan agenda ini.

 

Pada ketika itu usaha Public Bank tentera, ini satu-satunya bank swasta yang mencatat kejayaan yang membanggakan. Dan saya daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan saya hinggalah Menteri Kewangan, tentunya lebih rapat dengan Public Bank khususnya Tan Sri Teh Hong Piow dan oleh itu saya ucapkan sekali lagi terima kasih kepada dukungan sekarang sahabat karib Tan Sri Teh juga Tan Sri Tay Ah Lek.

 

Baik, mengapa kita usahakan acara-acara sebegini? Kerana kita tidak mahu kenyataan mendukung bahasa itu sebagai hanya suatu slogan biasa. Harus ada usaha di Kementerian Pendidikan tentunya Pendidikan Tinggi, Maktab dan universiti dan juga pihak kerajaan, Dewan Bahasa, tetapi juga dukungan swasta.

 

Apakah hubungan bank komersial yang berjaya dengan memartabatkan bahasa? Jadi saya berfikir pada ketika itu, kalau kita nak jadikan ini sebagai agenda nasional, maka harus ada penglibatan semua pihak. Jadi, ada bank seperti Public Bank dalam Hadiah Bahasa masa itu, bank-bank lain Maybank, Arab-Malaysian (AmBank) itu menghidupkan acara-acara teater yang boleh menggali semula dan menghidupkan dan menyemarakkan semangat dan karya-karya klasik umpamanya.

 

Jadi usaha ini harus berterusan dan sepertimana pernah saya ungkapkan sebelum ini, bila kita berbicara dulu tentang Kebangkitan Asia itu, Asian Renaissance itu, Nahdah Asia itu, pemerkasaan ekonomi harus menjadi asasi yang fundamentalnya kerana kekuatan ekonomi, susur kewangan itu mesti diberikan keutamaan kerana dengan gagahnya kekuatan ekonomi banyak masalah-masalah boleh diselesaikan.

 

Tetapi dia tidak noktah di situ, kerana ciri kemanusiaan ataupun manusiawi itu tidak hanya hidup segar bugar dengan kekuatan ekonomi. Maka timbul apa yang kita ungkap sebagai pemerkasaan budaya, seperti seni bahasa dan budayanya salah satu cara begini.

 

Kemudian bila diberikan amanah sekarang bersama rakan-rakan dalam kerajaan MADANI ini saya ungkapkan falsafah MADANI yang memberikan tentang pengertian yang lebih jelas tentang erti atau memaknai pertumbuhan, kemajuan dan pembangunan negara harus mampan kerana ciri sustainability itu.

 

Pertamanya di bidang ekonomi harus menjadi paksi, tetapi sebagai manusia dan sebagai negara yang mampu angkat martabat dan tamadunnya, maka pemerkasaan, memartabatkan bahasa harus diberi keutamaan, sastera, seni dan budaya. Saya bagi satu contoh, kita tahu perkembangan negara China sekarang hebatnya kerana ekonomi, kerana digital dan kerana teknologi. Benar saya ke sana akhir tahun lalu dan kebetulan ada pidato, dalam pidato itu saya hendak baca karya Mengze dalam bahasa Cina dan bahasa Cina saya ini berkarat. Hendak sebut ini, belajar Ma! Ma! Ma! itu pun dah seminggu tidak lulus.

 

Jadi diatas mobil saya cuba baca jasi saya tanya pegawai polis pengiring, ADC dari negara China. Saya kata, tahu tidak ini Mengze? Dan bacaan begini? Dia kata, oh ya, “saya bisa, saya hafal tu ungkapan itu”. Jadi dia pun latih saya sepanjang dalam 30 minit mahu ke tempat kuliah di universiti.

 

Kemudian, kebetulan saya tanya, tanya orang sebelah, pemandunya tanya pemandu dan pemandu kata dia hafal, dia baca karya Mengze tentunya 3 hingga 4 para saya kata “Jangan!” satu para pun dah penat lelah dah. Jadi ini kemudian saya malam itu dalam jamuan yang agak tertutup dengan Presiden Xi Jinping, saya ceritakan kisah ini.

 

Jadi saya tanya dia satu perkara. Saya kata, ada era di mana dalam Revolusi Kebudayaan oleh ‘Gang of Four’ itu dipadamkan, Confucius, karya-karya klasik cuba dibenamkan. Jadi saya tanya, “Presiden Xi, mengapa dalam ungkapan dan dasar Presiden disebut kerjasama pembangunan menyemarak tamadun?”. Dia sebut, jawapannya itu menarik. Dia kata, “Iya orang kenal kita dari segi disiplin dan pertumbuhan ekonomi, itu benar, kalau tidak kita tidak dapat selesaikan masalah kemiskinan yang banyak dan beri tumpuan dalam bidang pendidikan dan digital dan AI dan sebagainya. Tetapi saya kembalikan secara serius penguasaan Bahasa Cina dan karya-karya klasik dalam Bahasa Cina.”

 

Saya tanya mengapa? Kata dia “Kerana saya mahu anak-anak Cina kekal identiti dia. Tidak terjebak dan terpukau dengan karya asing yang mempengaruhi sikap dan jiwa anak muda”. Jadi sebab itu kata dia, karya-karya Confucius, Mengzi, Laozi itu dihidupkan dan di sekolah diajar. Itu kita umumnya tidak tahu kerana tentunya penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, artificial intelligence, digital, banyak yang kita harus kuasai. Benar, tetapi lihat, negara itu tidak mahu tinggalkan dan dia anggap episod di mana dibenamkan itu satu pendustaan atau kesilapan sejarah.

 

Selepas itu saya ke Vladivostok jumpa Presiden Putin, Russian Federation. Ini bukan cerita pasal ‘throne 3’ yang baru-baru ini (nada seloroh). Jadi, di Vladivostok, saya menginap di kamar khas di universiti di Vladivostok. Jadi tentunya dikawal rapi, dijaga, biasalah ya. Jadi tatkala minum pagi, yang pembantu-pembantu saya ingat mungkin sebahagiannya mahasiswa, sebahagiannya pembantu hotel. Saya bicarakan tentang Fyodor Dostoevsky, Anton Chekhov, Boris Pasternak, Aleksandr Solzhenitsyn. Jadi saya tanya, “Saudara, Rusia dengan kekuatan ketenteraan dan ekonomi dan disiplin dalam bidang pendidikan yang meningkat tinggi, itu hampir semua yang saya tanya itu tahu tentang kekuatan sastera budaya Rusia.

 

Saya cuba hendak cuit, saya tentang tentang Anna Akhmatova, seorang penulis pengarang puisi wanita yang handal. Dia boleh baca satu ungkap tentunya dalam Bahasa Rusia. Sengaja saya sampaikan di sini untuk menunjukkan bahawa dalam negara MADANI ini sementara kita berhempas pulas, bersaing untuk mendapatkan yang sebaiknya, institusi kewangan harus hebat, harus menerobos ke negeri-negeri lain. Seperti mana Public Bank di Vietnam, Cambodia, Maybank di Indonesia dan negara-negara lain. Itu tidak harus meninggalkan satu ciri, satu aspek dalam pembangunan dan pertumbuhan negara yang sangat integral iaitu penguasaan bahasa yang baik dan menghargai, memartabatkan karya-karya besar ilmu. Sama ada dalam bidang sastera, ataupun ekonomi, atau kewangan dan sekarang digital, tetapi kekuatan itu ada.

 

Adalah satu kesilapan besar bagi kita tatkala kita mengejar perubahan dan pembaharuan dan pembangunan, mengandaikan bahawa aspek-aspek ini boleh diremehkan. Kerana tidak ada negara hebat, negara besar yang meninggalkan ini.

 

Sama pengalaman Jepun, Korea atau di Inggeris tanpa kecuali anak-anak itu sebahagian besarnya menguasai bukan sahaja karya-karya William Shakespeare, tapi menghafal beberapa rangkap bait-bait utama sama ada ‘King Lear’ atau ‘Macbeth’ dan sebagainya.

 

Sebab itu kepada YB Wong Kar Woh ada di sini, di Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Tinggi walaupun mereka terus dicabar, diasak untuk bawa perubahan dan menguasai Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, bahasa-bahasa lain. Kemudian ditambah pula sekarang dengan belajar digital, kemudian AI, kemudian kejuruteraan dan TVET.

 

Jadi hal-hal baru yang kita mesti tangkap, kalau tidak kita akan ketinggalan. Tetapi jangan meninggalkan aspek yang sangat utama, jati diri kita, maruah kita, nilai hidup kita. Sebab itu di pendidikan saya selalu sebut kita ini harus menggapai yang di langit, ilmu-ilmu disiplin baru ini, kejuruteraan canggih applied design, advanced packaging. Benda-benda istilah-istilah baru dalam dunia digital dan semikonduktor. Tapi dalam mengejar dan menggapai langit, jangan kita lupa harus mengakar ke bumi. Soal akhlak, soal agama, soal budaya. Jadi ini harapan kita memang pastinya terus mencabar, membebankan, melelahkan tapi kita tidak punya pilihan. Mahu jadi negara hebat, negara bertamadun, maka mesti hebat ekonominya, kewangannya, banknya, tapi hebat bahasanya, hebat seni sastera dan budayanya.

 

Itulah sebabnya mengapa saya secara peribadi, mengajak Tan Sri Teh untuk menyokong dan saya sangat terharu terutama kerana mengingatkan pengalaman persahabatan lama dengan Tan Sri Tay dan kemudian Tan Sri Teh pegang obor itu dan sambung Hadiah Bahasa 2025.

 

Sempat Tan Sri Teh bisik pada saya, “No worries, kita adakan ini tiap tahun selepas ini.” Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih. Terima kasih kepada semua khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang membantu dan menjadi Sekretariat yang menyelenggarakan dan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.