TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERNYATAAN BERSAMA PUTRAJAYA DAN SARAWAK SEPAKAT SELESAI ISU PETRONAS – PETROS SECARA RUNDINGAN

 

 

PERNYATAAN BERSAMA

PUTRAJAYA DAN SARAWAK SEPAKAT SELESAI ISU PETRONAS – PETROS SECARA RUNDINGAN

21 MEI 2025 (RABU) JAM 3.00 PETANG

PUTRAJAYA

 

Terima kasih saudara-saudari, terutamanya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari (Premier Abang Jo), Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri dan rakan-rakan daripada Persekutuan dan juga Sarawak kerana kita dapat memeterai satu persefahaman yang baik ke arah memajukan Malaysia dan Sarawak melalui dua syarikat besar, PETRONAS dan PETROS.

 

Perkara ini sebenarnya, dari segi prinsip, telah lama disepakati, seperti mana pernah saya berunding dengan Premier Abang Jo tentang parameter yang jelas, menerima kenyataan PDA 1974 dan juga DGO 2016 (Ordinan Pengagihan Gas) untuk Sarawak. Maknanya, keadaan terkini menuntut kita menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang lebih matang dan lebih punyai keupayaan, termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang punyai potensi besar.

 

Peranan PETRONAS oleh itu tidak tergugat kerana dia meneruskan peranan dia. Tetapi mengambil kira perkembangan baru dan kuasa yang diperuntukkan kepada Negeri Sarawak dan peranan PETROS. Jadi persefahaman yang kita lakukan ini adalah memastikan pergerakan PETRONAS diteruskan dan peranan PETROS di Sarawak diiktiraf dan kedua-duanya bekerja berganding bahu mengangkat martabat negara melalui industri minyak dan gas dan hiliran, huluan dan beberapa kegiatan alternative energy yang dibicarakan dan tentunya seperti mana yang kita catat dalam kenyataan kita, hasrat kita bersama selain daripada menjayakan PETRONAS serta menjadikan Sarawak itu sebagai hab permulaan bagi ASEAN.

 

Jadi, bagi saya itu pendekatan yang sangat realistik yang akan memberikan kemenangan kepada negara dan keberhasilan dan mengangkat kedudukan ekonomi Sarawak.

Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Premier dan rakan-rakan dan juga keluarga PETRONAS dan PETROS serta semua pihak.

Peguam ambil masa sedikit, kerana mereka itu untuk pertahankan kedudukan dan kepentingan masing-masing, keluhuran perlembagaan, bidang kuasa dan juga kedudukan dan peranan negeri terutama dalam konteks sekarang di mana Sarawak itu sedang muncul sebagai gergasi dalam bidang tenaga.

 

Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Waalaikumussalam.