TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM MADANI RAKYAT NEGERI JOHOR
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MADANI RAKYAT
NEGERI JOHOR
23 MEI 2025 | JUMAAT | 3.00 PETANG
PUSAT BELI BELAH TOPPEN
JOHOR BAHRU, JOHOR
Assalamualaikum wabarakatuhi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahirobbil Alamin,
Nahmaduhu wausolli ala Rasulillah Karim Waala alihi wasohbihi ajmain.
Saudara Menteri Besar, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi;
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh;
Timbalan Menteri dan pimpinannya;
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri SUK dan rakan-rakan yang saya muliakan terutama anak-anak yang cukup bersemangat hari ini, terima kasih.
- Hari ini kita teruskan dengan acara MADANI Rakyat. Tetapi sepertimana kita lakukan, kita tugaskan temanya dan kementerian untuk menakhodai atau mengepalainya dan menyelaraskan program. Dan hari ini tempatnya, sambutannya, semangatnya, saya ucap tahniah kepada Saudari Hannah Yeoh dan anak-anak.
- Apa tujuannya? Tujuannya supaya ada pendedahan, kita adakan program pelbagai, tapi kalau tidak diikuti, difahami oleh rakyat dia tidak akan memberi kesan. Sebab itu tiap program yang diluncurkan harus mampu menyantuni rakyat dan di kalangan rakyat elemen terpenting yang akan menentukan masa depan negara ialah anak-anak muda sekalian.
- Jadi, hari ini hari istimewa. MADANI Rakyat menyantuni anak muda dari kegiatan-kegiatan tentunya menjelaskan program, pencerahan kepada rakyat tetapi beri tumpuan kepada kegiatan anak muda.
- Saya tengok tadi tarian itu semangat, tapi tidak boleh ikut, takut pinggang terjejas (nada berseloroh). Tapi kita harus santuni dan terima, keadaan berubah. Zaman saya minatnya, tarian lain, YB Hannah Yeoh lain lagi. Sekarang kita santuni asalkan kita kawal aturannya, adabnya, akhlaknya, nilainya.
- Sebab apa saya tekankan hal ini? Apa erti pembangunan? Apa erti pembangunan seutuhnya? Saudara Menteri Besar Onn Hafiz menjelaskan tentang Economic Zone atau Forest City atau infrastruktur baru, tapi untuk apa? Untuk bangunkan manusia. Yang kita nak bangunkan itu manusia, dan manusia tu ada elemennya, ada cirinya, nilainya, kemanusiannya.
- Apa erti bangunkan gedung tetapi manusia ganas, rakus, angkuh, menekan tidak ada perasaan kemanusiaan. Apa erti negara dengan mencapai kejayaan yang hebat di Malaysia tetapi kebencian antara satu sama lain tertanam. Kebencian kerana warna kulit, kebencian kerana kaum, kebencian kerana agama. Agama tidak pernah ajar kebencian.
- Sebab itu saya nak anak-anak muda ajar golongan tua yang kurang faham erti kemanusiaan. Anak-anak muda beri contoh yang baik bagaimana negara ini boleh disatukan dengan semangat Malaysia MADANI.
- Ini tidak bermakna kita kurangkan semangat kaum, cintakan atau hayati agama kita, muliakan budaya, seni, sastera dan bahasa kita. Tidak ada salahnya. Tetapi anak muda harus beri contoh. Sebab itu kita galakkan sukan dan olahraga. kita galakkan acara-acara seni. Kita galakkan acara-acara budaya yang meluas. Untuk apa? Untuk ada semangat persefahaman, kesepakatan dan kesetiaan di antara satu sama lain.
- Saya harap pimpinan belia, saya lihat Majlis Belia Malaysia ada, Majlis Belia Negeri ada, dan peserta-peserta belia yang bercambah ini harus ingat prinsip ini. Kita catat pertumbuhan ekonomi yang membanggakan. Dua hari lagi berhimpun pemimpin-pemimpin negara ASEAN. Dan kali pertama dalam sejarah bersama dengan pemimpin-pemimpin Negeri Arab, Negara Teluk GCC dan disambut pula oleh Perdana Menteri atau Premier China, Li Qiang dan ini luar biasa. Ini Kali pertama diadakan Sidang ASEAN bersama pimpinan negara Arab Teluk dan juga negara China.
- Sebab apa? Sebab dia tengok ada keupayaannya. Sebab semangat bekerja kita, sebab kesungguhan kita membangunkan negara. Kita sekarang menjadi semi konduktor hub termasuk di Johor. Tahniah kepada YAB Menteri Besar Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan rakan-rakan yang telah berusaha untuk mengangkat martabat Johor ini.
- Perkara ini akan menentukan sama ada anak-anak muda mendapat pekerjaan. Bukan sekadar mendapat pekerjaan tetapi gaji dan upah yang munasabah. Kemudian perumahan mereka. Mutu pendidikan negara dan kesihatan. Ini hanya dengan pertumbuhan ekonomi. Kalau ekonomi tidak boleh diurus, tidak mungkin kita boleh selesaikan masalah-masalah rakyat.
- Dan untuk ekonomi itu mantap dan orang ada keyakinan kita mesti bersatu. Jangan beri peluang pada unsur-unsur yang memecah belahkan kita. Tak semena-mena timbul benci satu sama lain. Tak semena-mena mula mencemuhkan dan menghina satu kaum dengan kaum yang lain. Ini akan melemahkan seni dan nadi negara Malaysia tercinta.
- Bila negara ini stabil, ekonominya bangkit, ini bermakna memperkasa ekonomi dan memperkasa sastera dan budaya dan rakyat keseluruhannya.
- Jadi saudara-saudara dan anak-anak dikasihi sekalian. Saya harap ingat gesaan ini. Saya sebut tadi Malaysia sekarang menjadi semikonduktor hub di rantau ini. Bukan sahaja at the back end, the lower end. Infineon di Kedah Nvidia Corp di Johor dan semalam Maistorage di cyberjaya.
- Bayangkan tiga (3) gergasi semikonduktor dunia telah mahu bertapak di Malaysia. Anak-anak mesti ambil peluang sebaik mungkin manfaatkan daripada perkembangan ini dan jadikan Malaysia ini negara hebat di rantau kita.
- Jangan kita pandang remeh, jangan pandang ringan. Puluhan negara memujuk rayu syarikat-syarikat ini pergi. Semalam, pengurusan Maistorage memaklumkan, untuk tahap cip yang di terbitkan MaiStorage itu hanya 4 negara setakat ini, iaitu Amerika, China, Taiwan dan satu lagi negara dan Malaysia itu di antara 5 yang terhebat dalam mengendali isu ini.
- Saudara, tidak mungkin ini berlaku kalau tidak ada kesungguhan. Anak-anak kita yang belajar kejuruteraan, TVET dan yang lain mesti bersungguh-sungguh untuk tingkatkan keupayaan kita. Ini baru ertinya merdeka rakyat, merdeka negara bila kita mampu urus kepentingan negara kita sendiri. Kita kena hapuskan elemen-elemen yang merosakkan sama ada dari segi kaum atau agama atau jadi pemimpin nak bolot kekayaan diri mereka, ini mesti kita hentikan.
- Sebab tu orang tanya mengapa saya keras terhadap penyelewengan dan rasuah. Saya kata kalau ada kita izinkan rasuah dalam negara, kita nak ambil tindakan, tapi tak berani! kalau ambil tindakan, dendam! Orang itu kumpul puluh-puluh bilion ringgit, selesa! Tidak boleh lagi dah, negara ini mesti diselamatkan, orang mahu jadi pemimpin boleh. Tapi jangan jadi pemimpin untuk kaut kekayaan negara ini untuk diri mereka dan keluarga mereka.
- Ini tekad kita, tak boleh kita lakukan tanpa dukungan anak muda. Anak-anak muda ini mewakili idealism, semangat baru, cita-cita murni. Senang dengan kebaikan, senang dengan keadilan, senang dengan perpaduan, benci dengan penyelewengan benci dengan kezaliman dan rasuah dan benci dengan penindasan. Jadi saya harap anak-anak Johor yang terkenal dengan bangsa Johor. Jangan lupa pesanan bapak ini. Kita mesti bangkit sebagai negara yang kuat.
- Dan saya percaya, Kementerian Belia dan Sukan di bawah YB Hannah Yeoh dan YB Adam Adli boleh bantu untuk angkat semula imej anak-anak muda kita untuk memahami, menguasai dan mendepani semangat dan arus perjuangan ke arah perubahan.
- Saya tidak bermaksud untuk hari ini seperti mana yang disebut dalam teks nak baca projek-projek yang diluluskan oleh negeri Johor. Saya dah bincang tadi dengan Menteri Besar dan SUK. Tak payah lagi dah, saudara, adik, anak pun tak mahu dengar itu dah. Asyik cerita berapa jumlah projek. Yang kita mahu ialah apa latihan yang diberikan, apa kemudahan? baik sukan atau budaya. Bagaimana program perumahan yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat?
- Saya ucap terima kasih kerana Menteri Besar, dia orang muda, dia kerja gigih untuk bawa perubahan ini, dan kita bagi sokongan kepada beliau supaya dapat angkat lagi kepentingan negeri Johor ini. Ini bukan saya kempen. Dia tak bertanding dalam Kongres Keadilan (nada seloroh).
- Jadi ini sahaja saya nak sebut di sini. Selain daripada peruntukan yang dimantapkan untuk inisiatif Rakan Muda dan kalau YB Hannah Yeoh dalam Jemaah Menteri, asyik ada peluang dia minta peruntukan tambahan. Dan dia punya ada style. Bila dia minta peruntukan tambahan itu, dia minta dengan senyuman. Jadi saya nak kata no itu cukup susah. Jadi kita luluskanlah dapat beberapa tambahan.
- Baru-baru ini lulus berkaitan tambahan untuk program-program Rakan Muda dan juga belia-belia, sama ada dalam persatuan yang beri keutamaan, kita bagi keutamaan dan lebih dalam persatuan, tetapi juga menyantuni anak-anak muda yang kadang-kadang tersisih daripada gerakan persatuan dan saya harap persatuan beri kerjasama untuk menjayakan program ini.
- Saya juga tertarik kerana melihat umpamanya Sekretariat Rakan Muda itu sudah menjangkau jumlah 119. Ini menunjukkan kita sudah jalur sampai ke bawah. Kalau tidak kalau nak bawa perubahan setakat Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Bahru tak jalan, ia mesti sampai ke akar umbi.
- Cukuplah setakat ini tak boleh umum banyak-banyak. Yang nak itu, laksanakan. Sekali lagi saya ucap terima kasih terutamanya kepada anak-anak muda negeri Johor dan rakan-rakan yang menjayakan program ini. Dan kita doakan ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan negeri kita kekal aman dan kita boleh angkat martabat negara ini sebagai negara yang berjaya. Mesyuarat ASEAN, GCC dan negara China yang ulung-ulung kali diadakan di rantau ini, insya-Allah akan mencatat kejayaan dan sukses seperti mana yang diharap dan diidam-idamkan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.