TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SAMBUTAN HARI PEKERJA TAHUN 2025 “PEKERJA KESUMA BANGSA”
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN HARI PEKERJA TAHUN 2025
“PEKERJA KESUMA BANGSA”
1 MEI 2025 | KHAMIS | 9:30 PAGI
AXIATA ARENA, BUKIT JALIL
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil alamin,
Nahmaduhu wa nusolli ala Rasulillah karim
Waala ahlihi wasahbihu ajmain.
Saudara Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi;
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri fadillah Yusof;
Panglima Pekerja Menteri KESUMA, YB Tuan Steven Sim Chee Keong; dan
YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha;
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Hari ini Hari Pekerja. Kita datang untuk memperingatkan bukan saja pekerja, majikan, rakyat dan pemimpin. Seperti mana dilakar dalam lagu itu, “tanpa pekerja, tidak ada Istana Raja. Tanpa pekerja, tidak ada hospital megah. Tanpa pekerja, keluarga kita tidak dirawat. Tanpa pekerja, keselamatan kita tidak terjamin.” Jadi saya harap, sambutan ini memberi peringatan kepada semua. Ada perubahan sikap. Negara berkembang maju, alhamdulillah. Kita catat pertumbuhan yang membanggakan. Pelaburan yang kita catat, tertinggi dalam sejarah. Tetapi, dalam mengukur ini semua, kita mesti jamin keselesaan kepada rakyat terbanyak dan pekerja.
- Sebab itu sepertimana disebut tadi oleh Menteri KESUMA, dalam merangka Sistem Saraan Penjawat Awam yang baharu, pendekatan kita bukan sahaja naik gaji seperti biasa. Yang tertinggi naik sedikit, yang di bawah naik lebih tinggi 15%, 20%, 30%. Sebab apa saudara-saudara? Kerana kita tidak mahu negara ini makmur untuk sebilangan kecil dan sebahagian besarnya yang bekerja itu diketepikan. Sama seperti kita hebahkan soal frontliners, tatkala menghadapi COVID-19, semuanya berkhidmat, semua berkorban. Tapi kadang-kadang kita hanya meletakkan tumpuan kepada kelompok yang diatas. Memang mereka berkhidmat, tetapi tanpa technician, tanpa tukang cuci, tanpa tulang yang membersihkan tanpa pencuci lantai. Tidak ada kejayaan dalam usaha kita, sebab itu menghargai, menghargai dari atas sampai ke bawah. Jangan kita ambil sikap yang bukan manusiawi kalau kita kata betul, walakad karamna bani adam, kita angkat darajat manusia, manusia itu jangan dinilai kerana pangkatnya, kerana hartanya, kerana kedudukannya, tetapi kerana kemuliaan budi pekerti dan khidmatnya.
- Saya harap insya-Allah, kalau semangat ini ada kita boleh berubah. Sebab itu, kita mulakan dengan gaji minima. Percayalah saudara-saudara, bila kita bahas soal gaji minima. Sampai ke Jemaah Menteri, dia tidak mudah. Kerana tekanan kuat bukan semua majikan. Sebahagiannya memikirkan kalau naik gaji minimum, beban kepada majikan, tidak akan ada pelaburan, kos pengeluaran tinggi. Tapi kita terima sebahagian hujah. Tetapi kalau kita terima bahagian hujahnya, sampai bila? Keadaan pekerja di peringkat bawah itu, kekal sebegini. Bagaimana mungkin kita angkat sedikit, pendapatan mereka jamin keselesaan mereka.
- Sebab itu, saya ucap terima kasih kepada Jemaah Menteri, YAB Dato’ Seri Zahid, YAB Dato’ Sri Fadzilah, dan seluruh barisan, yang ambil sikap faham kerangka falsafah MADANI dan mengatakan mesti ada perubahan, mesti ada reform dalam sikap dan mentaliti kita untuk menjaga kepentingan rakyat yang di peringkat bawah, umumnya majoriti pekerja di tanah air. Jadi bukan ini soal PMX, PMX kita tidak boleh berperanan, kalau tidak ada kekuatan, kesatuan, semangat pimpinan yang cinta kepada rakyat, yang dicintai rakyat dan mencintai rakyat baru ada makna dalam perubahan dan hidup negara kita.
- Terima kasih. Saya bangkit seperti mana yang disebut oleh Steven Sim tadi, memang betul Perdana Menteri ini bangkit dari perjuangan jalanan. Dan kalau dilihat menyingkap lembaran sejarah puluhan ribu berhimpun itu hampir keseluruhannya golongan pekerja. Jadi saya salute kepada pekerja, saya tidak pernah lupa budi dan pengorbanan saudara-saudara.
- Sekarang kita punya keupayaan untuk berbuat sesuatu dan sebab itu kita menyeru supaya saudara-saudara beri ruang kerana negara ini belum terlepas daripada perseteruan yang memupuk kebencian antara kaum, antara parti, antara wilayah, antara warna kulit, fahaman agama, masih belum berlepas.
- Hari ini kita bicara soal pekerja, membela nasib pekerja. Apa kita tanya? Pekerja itu Melayu? Ya, Melayu yang majoriti, Melayu yang paling ramai dalam kategori ini. Tapi, apa kita kira? Anak Cina, anak India, atau Dayak, atau Kadazan? Kita tidak fikir begitu. Kita fikir nasib pekerja, kesatuan pekerja, semangat pekerja, mengangkat martabat pekerja keseluruhannya.
- Kita kuat kerana kesatuan, kita kuat kerana semangat bawa perubahan. Jangan izinkan hari-hari kita baca berita di negara sana, di benua sana orang berpecah kerana kaum, kerana faham agama yang fanatik kerana kebencian di antara satu sama lain, kerana faham yang sempit. negara pecah dan rakyat miskin. Kita mesti pecahkan tembok itu.
- Negara ini negara bertuah, sejarah gemilang. Mana ada negara di mana penguasaan begitu banyak bahasa? Mana negara yang indah kerana pelbagai budaya? Mana negara yang mendapat menyantuni ini semua? Namanya Malaysia, Malaysia hebat, Malaysia keramat dan kita pertahankan semangat ini.
- Jadi saya harap golongan pekerja, saudara golongan pekerja ini majoriti yang tentukan siapa Perdana Menteri, bentuk Kerajaannya, dasarnya. Kalau pekerja bersatu, pekerja yang menentukan bukannya kelompok yang lain. Sebab itu seruan saya kepada pekerja percayalah saudara tahu perkembangan.
- Negara ini punyai sejarah baik ada sejarah lemah, ada sejarah gemilang, ada sejarah rompakan. Kita pilih yang mana? Kita pilih yang gemilang, kita pilih hentikan amalan sombong menindas pekerja, tamak haloba untung berbilion-bilion, naik gaji pekerjaan 40 ringgt pun susah, ini apa jenis manusia?. Tak mudah saudara dapat seorang Perdana Menteri yang menyuarakan begini. Saya mahu syarikat untung, lebih banyak untung, lebih baik bagi negara. Lebih banyak pekerja, lebih tinggi cukai. Tetapi, jangan untung sendirian. Untung itu kerana tukang cuci, untung itu kerana technician, untung itu Kerana Jurujual, untung itu kerana pekerja. Jadi berilah gaji yang munasabah kepada mereka. Untung itu kerana pekerja.
- Jadi, berilah yang munasabah kepada mereka. Sebab itu, selain daripada gaji minimum, kita perkenalkan gaji progresif. Ada orang kata, “Oh, bicara saja, tidak lakukan apa-apa.” Saudara, saya kata kita bermula dengan urusan tadbir negara, tatakelola yang baik. Elak daripada curi wang negara. Elak daripada menilai pemimpin, beri dia sedikit ruang jadi Menteri sekejap, kekayaannya ketara — RM1 bilion, RM2 bilion. Kita tak mahu negara begitu. Kita kena hentikan.
- Apabila diurus dengan baik di semua peringkat, faedahnya kembali kepada rakyat. Semalam, saya lancarkan rumah, perumahan MADANI — majoriti untuk pekerja. Seperti mana disebut: gaji, pengangkutan, kesihatan, sekolah untuk anak-anaknya. Ini kerana kelas — sekolah orang besar, orang kaya itu jauh lebih baik. Sekolah untuk anak pekerja, daif. Ini bukan negara MADANI.
- Perumahan pun begitu. Perumahan, kalau di sekitar Kuala Lumpur, dibina tahun 60-an. Semalam, saya lihat ada yang dari tahun 50-an. Satu bilik atau kamar, satu bilik mandi dan tandas. Anak enam. Maka kita fikir bagaimana nak perbaiki. Dulu, kita jerit, nak bela nasib mereka. Sekarang kita ada kuasa untuk melaksanakan projek perumahan — majoriti pekerja, bukan majoriti tetapi keseluruhannya pekerja.
- Apakah mampu kita hidup — negara merdeka, gagah, kaya di antara negara berkembang yang hebat — tetapi rumah satu keluarga, enam anak, satu bilik tidur, satu bilik mandi? Tidak boleh. Sebab itu, kita nak perkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar, supaya ada kuasa bangunkan rumah minimum tiga bilik dan dua bilik mandi. Tetapi, dihentam, dikecam. Apa jenis manusia begini? Kamu masa ada kuasa, kamu tak fikir rumah rakyat. Kamu ada kuasa, kamu timbun harta. Bila hilang kuasa, kamu bicara soal Melayu, hidup Melayu, martabatkan Islam. Bagaimana boleh kita pertahankan Melayu dan Islam? Ini cara kita.
- Jadi, soal pekerja ini bukan soal gaji minimum sahaja — tetapi kemudahan kesihatan mereka, sekolah anak-anak mereka, dan perumahan rakyat. Sebab itu, dalam dua tiga tahun ini, saya beri pengakuan dan telah kita laksanakan perubahan. Bagi saya, dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bandar raya dan seluruh jentera Kerajaan, kita akan pastikan jumlah perumahan tertinggi dalam sejarah sejak merdeka.
- Pekerja-pekerja dan penjawat awam, jalankan dengan cepat. Kalau projek kita boleh diluluskan dalam satu bulan, jangan tangguh lapan bulan. Dahulu, saya pernah sebut, apabila tanya, tanah kIta tidak ada. Masa itu, saya seorang pensyarah di Selangor, 25–30 tahun yang lalu. Nak buat perumahan rakyat, tetapi susah nak cari tanah kerana tanah ini susah — ada projek itu, ada projek ini. Ya ke? Tapi saya lihat, untuk golf course sudah ada 17. Untuk golf course ada tanah, tetapi rumah rakyat tidak ada tanah? Jadi sekarang, alhamdulillah, di Wilayah Persekutuan ada tanah. Kita bangunkan perumahan rakyat puluhan ribu, di kota-kota di mana ada kesesakan dan keperluan. Itu maknanya membela nasib pekerja.
- Selain itu, saya ucap terima kasih. Saya pun semangat itu semangat lah, tetapi saya juga terkesan dan terharu. Iya semangat itu semangat, tapi saya juga terkesan dan terharu. Bisik dengan Dato’ Seri Zahid, Dato’ Sr Fadillah, mereka pun bersama saya, dia kata, “kalau inilah cara pekerja sambut kita mestilah berbuat sesuatu yang jauh lebih baik untuk mereka. Saya pun manusia biasa seperti saudara. Bila saya dengar lagu mula tadi tentang pekerja, saya tersentuh. Jadi Steven, selepas pidato saya dan perasmian, kita pasang sekali lagi lagu semangat pekerja. Dan Tan Sri Shamsul Azri Ketua Setiausaha Negara, saya tak mahu kerja lagu ini hanya untuk Kementerian Sumber Manusia, saya nak lagu ini dipasang di setiap Kementerian di negara kita. Lagu ini menyentuh jiwa, menyedarkan kita dan semangat pekerja.
- Saya juga pekerja, saudara jangan lupa. Saya ini pekerja dan kita harus berbuat sesuatu. Percaya lah bila kita harus bekerja dan saya harap para pekerja jalankan kerja dengan ikhlas. Tekunlah walaupun kita catat perubahan, kejayaan, negara ini masih lagi hadapi banyak masalah harian. Hampir setiap hari kita bergelut dengan keputusan Presiden Amerika Syarikat mengenai tarif yang dinaikkan. Kita tercabar. Kerjalah dengan baik, kerjalah dengan tekun, kerjalah ikhlas. Sekiranya pekerja ada tekad yang bulat, jaga sahabat handai, jaga kawan-kawan di kilang, jabatan, klinik, sekolah, polis. Kalau semuanya check sama-sama supaya kerja dengan ikhlas, saudara percayalah, negara ini akan terangkat sebagai negara hebat di rantau kita.
- Saya diminta untuk mengumumkan tentang suatu kemudahan tambahan tetapi saya akan sebarkan dalam kenyataan mengenai Kad Pekerja MADANI untuk memberikan ruang kepada sesiapa sahaja yang ahli kesatuan yang ada kad pekerja diberikan diskaun dalam kemudahan-kemudahan itu, saudara akan baca nanti.
- Insya-Allah kekurangan seperti yang dihadapi oleh pekerja GIG akan kita cuba selesaikan melalui Rang Undang-Undang Pekerja GiG yang akan kita bentangkan dalam sidang parlimen akan datang. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih. Kita berdiri di sini kerana pekerja. Jadi terima kasih sekali lagi dan insya-Allah kita akan bersama sebagai pasukan untuk terus berusaha bekerja dan tingkatkan khidmat kita. Semoga Allah SWT merestui usaha kita.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.