LAWATAN KE MOSCOW BAKAL JANA POTENSI PERDAGANGAN & PELABURAN SEHINGGA US$10 BILION
Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
KAZAN (Tatarstan), 16 Mei (Bernama) — Segmen pertama lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia disifatkan sebagai sangat memberangsangkan dengan potensi perdagangan dan pelaburan dianggarkan antara US$5 bilion dan US$10 bilion.
Sepanjang lawatan ke Moscow yang bermula pada Selasa, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan kalangan pemain industri, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata antara sektor yang diberi penekanan adalah industri halal, katanya.
Industri berkenaan dilihat mempunyai potensi besar berikutan populasi Muslim di Moscow dianggarkan antara 1.5 juta hingga 2 juta daripada lebih 13 juta penduduk kota tersebut.
“Kita melihat potensi besar untuk tempoh lima tahun akan datang. Jika semua berjalan lancar, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Rusia berpotensi mencecah US$5 bilion hingga US$10 bilion,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.
Muhammad Kamil berkata dalam pertemuan Anwar bersama Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin, beberapa isu penting telah dibincangkan termasuk landskap perdagangan global yang tidak menentu.
Kita menyaksikan perkembangan yang boleh mengukuhkan lagi peluang perdagangan, termasuk perancangan pengaturan penerbangan terus oleh syarikat penerbangan Aeroflot dari Moscow ke Kuala Lumpur yang dijangka bermula tidak lama lagi, katanya.
Beliau berkata langkah itu dijangka melonjakkan sektor pelancongan kedua-dua negara, yang meningkat dengan ketara dari segi jumlah pelawat sejak dua tahun lepas.
Perdana Menteri, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari bermula 13 Mei, tiba di Kazan semalam bagi meneruskan segmen kedua lawatan, yang dijadual berakhir hari ini.
Anwar dijangka menyampaikan ucaptama bertemakan pendigitalan pada Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16 (KazanForum 2025), yang menjadi acara kemuncak lawatan rasminya ke Rusia.
Kazan, yang terletak lebih 830 kilometer dari Moscow atau lebih lapan jam perjalanan darat, merupakan bandar terbesar dan ibu negeri Republik Tatarstan. Kazan dikenali sebagai pusat perindustrian, perdagangan dan kebudayaan bagi masyarakat Tatar.
— BERNAMA
TAG: Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, perdagangan, Kazan, Moscow, lawatan rasmi
SHI NBB NFAR
Friday , 16 May 2025
