TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN SURAT TAWARAN PLKI-ECRL BAGI FASA PENGOPERASIAN DAN PENYELENGGARAAN (O&M) ECRL

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN PELUANG PEKERJAAN DAN PENYERAHAN SURAT TAWARAN PLKI-ECRL BAGI FASA PENGOPERASIAN DAN PENYELENGGARAAN (O&M) ECRL

 

6 MEI 2025 | SELASA | 2:00 PETANG

SAPPHIRE ROOM MANDARIN ORIENTAL,

KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulillah al-Karim.

 

Saudara Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook,

Menteri Pengangkutan;

 

Saudara Yang Berhormat Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution,

Menteri Dalam Negeri;

 

Saudara KSN Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan;

 

Wakil-wakil dari kedutaan negara China;

Dan juga saudara Dato’ Sri Darwis bin Abdul Razak,

Ketua Pegawai Eksekutif MRL; dan juga

 

Mr. Deng Bo,

Managing Director China Communications Construction ECRL.

 

Terima kasih.

 

  1. Hari ini kita menyaksikan satu lagi tahap kemajuan pelaksanaan Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) ini, yang banyak manfaatnya bukan sahaja dari segi pengangkutan canggih, moden dan laju. Mudah-mudahan Hari Raya 2027 nanti tiada ada lagi kesesakan nak balik Kelantan tetapi dia juga akan memberikan ruang pertumbuhan baru Kelantan, Terengganu, Pahang terutamanya peringkat permulaan kerana setiap stesen utama itu strateginya ialah membangunkan kawasan pertumbuhan baharu dan sebab itu kerjasama dari syarikat bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan PBT amat kritikal untuk memastikan kejayaannya.

 

  1. Yang kedua, kita harus memanfaatkan kemajuan ini untuk juga memberi pendedahan. Sebab itu kepada anak-anak yang mengikuti latihan, saya ucap tahniah, doakan sebaiknya dan jadilah satu contoh duta-duta Malaysia yang dapat kita banggakan. Anak muda yang menggunakan kesempatan ini dengan disiplin untuk menimba ilmu sebaiknya, secekapnya, menjadi contoh yang baik, bukan sahaja kepada kita, tetapi juga kepada rakan-rakan kita di negara China bahawa ada kelompok anak muda yang apabila diberi peluang dan kemudahan, dapat menggunakan dan memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaik mungkin. Menjadi contoh dan teladan dan kemudian memanfaatkan ilmu itu dan sebarkan kepada rakan-rakan yang lain.

 

  1. Jadi, ini amanah yang sangat besar. Ramai yang akan mencari peluang seperti ini bukan sahaja mendapat latihan pengkhususan, pengoperasian dan juga penyelenggaraan bagi satu pengangkutan yang canggih, moden, di antara yang tercanggih sekarang, yang terkenal di seantero dunia, tetapi memerlukan satu komitmen yang baik. Jadi ini saya harap anak-anak akan berikan sebaik mungkin dengan disiplin, dengan nilai, dengan keterampilan ilmu, dengan akhlak supaya jadi kebanggaan kita. Insya-Allah, saudara Loke akan pantau dan saudara Darwis akan pastikan anak-anak ini menjadi contoh terbaik anak-anak kita, ya. Saya harap boleh begitu? angguk-angguk tapi buat betul-betul (dengan nada berseloroh).

 

  1. Baik, hari ini saya nak bagi selingan sedikit, satu yang agak memberi penambahan keyakinan. Semalam di Parlimen, tatkala menerangkan tentang ujian dengan penggenaan tarif oleh Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat, ke atas banyak negara termasuk Malaysia, saya katakan kita ambil sikap yang lebih sederhana, tegas, menolak apa-apa langkah unilateral. Kerana dunia sekarang dunia perdagangan, dunia yang lebih terbuka, dunia yang menerima sejak 1948, GATT, kemudian WTO, dimana sistem multilateral berdasarkan hukum, perdagangan menghormati dasar hukum – rule-based trading arrangements.

 

  1. Jadi sebab itu, kita sebagai satu negara yang bebas dan merdeka dan berdaulat, tidak bersetuju dengan langkah unilateral. Kendati begitu, kita masih memilih kaedah berunding kerana belum lagi dimuktamadkan. Dan saya rumuskan bahawa Malaysia kalau mahu maju dan yakin bukan hanya terpaksa bergantung kepada luar, kita harus bina kekuatan dalaman dulu iaitu yang kita sebut sebagai domestic economic resilience – daya tahan ekonomi domestik. Itu yang perlu kita kerjakan, apa sahaja yang mungkin, walaupun kita gunakan teknologi asing peringkat awal, tapi kita harus mencari kaedah-kaedah baharu. Dan ini ditentukan oleh anak-anak muda, mesti menguasai ilmu lebih baik daripada generasi kini, dan mudah-mudahan kita dengan cara dan pendekatan itu, kita lebih selamat pada masa akan datang.

 

  1. Negara harus aman dan damai, dasar-dasar harus jelas dan dasar yang jelas itu maknanya apa? Maknanya kita bergantung lebih kepada keupayaan kita – hidupkan perniagaan, pengurusan, kepakaran tempatan. Saya bagi contoh umpamanya seperti keperluan solar. Amerika Syarikat menaikkan kadar tarif yang terlalu tinggi bagi mana-mana pengeluaran solar yang berpangkalan di negara China ataupun beroperasi oleh syarikat China termasuk di Malaysia. Apakah kita hanya menyerah? Tidak. Kita gunakan manfaat itu walaupun tidak terkesan sangat daripada syarikat-syarikat tempatan. Kita belum tahu lagi, walaupun kejayaan perundingan peringkat awal ya, tetapi kita harus bersedia. Ada langkah yang harus kita ambil. Apa dia? Maknanya bangunan-bangunan kita, sama ada Kerajaan atau swasta, kita galakkan guna solar tempatan atau domestik untuk industri, sekolah-sekolah baharu harus guna solar, hospital – ini keupayaan kita. Sebab itu mesej ini harus jelas. Itu yang kita lakukan.

 

  1. Tetapi kita bernasib baik, alhamdulillah. Saya kata hari ini sahaja, pagi tadi kita ada rundingan dengan salah satu syarikat semikonduktor terbesar dunia, Advanced Micro Devices (AMD), yang lama beroperasi sekarang di sini. Kita dalam semikonduktor ini tidak ketinggalan, tetapi teknologi itu masih dikatakan back end, masih takat keupayaan pembuatan, proses. Tetapi tidak ada apa yang disebut advanced packaging atau advance design. Sekarang, dalam segala kemelut kita, perbincangan ini, sekonyong-konyong muncul syarikat ini yang agak besar, yang di antara terbesar di dunia, yang menyatakan pagi tadi mereka mahu jadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk advanced packaging dan advance design di Pulau Pinang dan Cyberjaya. Jadi tentu saya jawab, “Ahlan wasahlan”, tidak lah saya kata, sebab dia tidak faham. Saya kata, “Welcome” dan kita akan berikan semua kemudahan yang perlu dan pegawai-pegawai kita akan memberikan sokongan supaya dapat percepatkan proses, kerana ini sesuatu yang sangat penting dan kita menuntut sekian lama.

 

  1. Semikonduktor kalau back end itu, ya lah tetapi tidak begitu menghairahkan kerana dia tidak angkat keupayaan kita. Tapi ini maknanya anak-anak kena dilatih, harus lebih berupaya dalam bidang mereka. Menguasai ilmu itu, menguasai teknologi, menguasai semikonduktor, menguasai artificial intelligence. Barulah boleh memenuhi keperluan yang disebut advance packaging, advance design yang dianggap front end.

 

  1. Selepas itu mantan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida datang, sahabat lama saya diutus oleh Perdana Menteri Ishida untuk bincang tentang projek-projek baru ASEAN dan Malaysia terutama di bidang tenaga, tenaga baharu, decarbonization. Lihat umpamanya dalam keadaan kita kemelut memikirkan apa yang harus kita lakukan, syarikat-syarikat datang memilih Malaysia dan beri komitmen bagi pihak Perdana Menteri Jepun Ishida menyatakan mereka akan terlibat secara langsung dalam projek-projek pembangunan termasuk macam yang kita sebut ECRL dari Kota Bharu, Gombak, ini juga daripada Vietnam ke Kota Bharu guna nasional GRID turun ke Johor sampai ke Singapura.
  2. Selepas itu, datang lagi dari Bahrain. Dua Menteri daripada Bahrain, Menteri Persekitaran dan Menteri Perdagangan dan Ekonomi bincang untuk mahu masuk ke Malaysia dan segera melabur dan meningkatkan keupayaan dari segi pelaburan dan perdagangan. Jadi saudara lihat umpamanya dalam masa singkat begitu, kita ada syarikat besar dari Amerika, kemudian Jepun, kemudian Bahrain dan sekarang gergasi ekonomi dalam tahun ini dan berkembang sebagai kekuatan ekonomi baru dunia, negara China dengan ECRL dengan hubungan yang sangat baik.

 

  1. Beberapa minggu lalu kita menerima kunjungan Presiden China, Xi Jinping. Bukan sekadar kunjungan biasa, ia kunjungan persahabatan dan dia gunakan ungkapan “persahabatan kita ibarat air yang dicincang tidak akan putus”, itu ucapan Presiden Xi Jinping. Akhir bulan ini, bila ada sidang besar rantau iaitu ASEAN bersama Negara-negara Teluk (GCC) maknanya termasuk Arab Saudi, United Arab Emirates (UAE), Kuwait, Oman, Qatar dan Bahrain. Termasuk juga negara China yang akan diwakili oleh Premier Li Qiang.
  2. Jadi maknanya kita harus punyai disiplin, punya sikap yang agak positif, gunakan peluang yang ada dengan sebaiknya dan yakin dengan pendirian kita. Ini yang disebut economic resilience – daya tahan kita dan insya-Allah kita boleh maju dan angkat martabat negara kita.

 

  1. Akhirul kalam, kepada anak-anak, saya doakan selamat semuanya. Pastikan minta restu, kasih dan doa ibu bapa. Jangan kita rasa kita pergi itu kerana pandai kita, kita pergi itu kerana doa ibu bapa, kita pergi itu kerana latihan guru-guru yang baik, kita pergi itu kerana suasana aman damai dan dasar yang positif yang membantu kita. Ingat itu dan manfaatkan sebaik mungkin apa yang kita boleh pelajari di sana.

 

  1. Saya sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.