TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PERAYAAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH 2025
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PERAYAAN PESTA KAAMATAN
PERINGKAT NEGERI SABAH 2025
30 MEI 2025 | JUMAAT | 9.00 PAGI
DEWAN HONGKOD KOISAAN
KDCA, KOTA KINABALU
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Kaamatan Toinsanan,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;
Yang Berhormat Datuk Shahelmy bin Yahya,
Timbalan Ketua Menteri Sabah;
Yang Berhormat Tan Sri Joseph Pairin Kitingan,
Presiden Persatuan Kadazandusun Cultural Association;
Ahli-Ahli Yang Berhormat; Tuan-Tuan, Puan- Puan yang dihormati sekalian.
- Saya kebetulan menelefon pagi tadi YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang beransur baik. Beliau perlu rehat dua tiga hari di hospital. Tidak apa biar dia rehat di hospital, saya bicara dia, dia baik dalam dua tiga hari. Insya-Allah dia boleh aktif semula.
- Tahniah! terima kasih dan saya berasa, jadi tugas Perdana Menteri mesti datang meraikan sambutan hebat Keamatan Sabah. Kerana saya yakin semua sambutan budaya menghormati Kadazan-Dusun Cultural Association (KDCA) menghormati, memuliakan adat istiadat kita dan suku-suku kaum kita dengan semangat Kaamatan untuk Toinsanan ini memberi kehebatan yang lebih mengangkat kedudukan Malaysia sebagai negara yang terkenal di dunia ini.
- Saudara saudari harus faham bahawa dalam mana-mana negara, penduduknya pelbagai kaum, pelbagai suku kaum dan agama, semangat yang kita sebut inclusivity ini penting. Tak semua faham. Tak semua hayati kerana masih ada yang menghasut untuk menunjukkan perbezaan. Saya boleh sebut 100 berbedaan di antara Kaamatan dengan Sambutan Hari Raya Haji. Saya boleh sebut ratusan perbedaan di antara Kaamatan dengan Hari Gawai atau Deepavali atau Krismas. Tapi saya juga boleh sebut ratusan persamaan semangat ihsan, kebaikan, kemanusiaan, kepelbagaian, dengan semua kaum dan agama di negara kita. Mengapa tidak pilih yang itu? Dan mengapa pilih perbezaan?
- Sebab itu bila Malaysia ditubuhkan Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj bersetuju moto negara, Bersekutu Bertambah Mutu maknanya kepelbagaian itu boleh memperkukuh kepelbagaian boleh mempersatu, boleh meningkatkan mutu dan kepelbagaian juga boleh meruntuhkan.
- Mana ada negara di dunia, di mana kita menerima keadaan pelbagai kaum dan pelbagai agama, kemudian timbul permusuhan di antara kaum, di antara agama, di antara wilayah. Negara mana yang berjaya? Semua hancur lebur. Jadi betapa susah pun, betapa sukar sekalipun. Pimpinan yang waras boleh guna dalam kempen politik, boleh rebut jawatan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau ahli Parlimen tapi mesti ingat jangan korbankan negeri dan negara.
- Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri, Hajiji dan pimpinan Sabah kerana memilih untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, dengan wakil-wakil saudara-saudara di Jemaah Menteri. Dalam mesyuarat- mesyuarat di antara Persekutuan dan Negeri. Yang paling banyak diadakan sejak saya ambil alih sebagai Perdana Menteri. Kerana kita kena dengar. Juga ini kali pertama, hampir setiap kali saya datang di sini saya adakan majlis di antara semua pegawai, pegawai kanan Kerajaan Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Perkhidmatan Awam (KPPA), Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) mendengar langsung dari pimpinan negeri supaya dalam menetapkan keutamaan, umpamanya Rancangan Malaysia Ketiga Belas ini. Keutamaan itu tidak ada ditentukan oleh Kuala Lumpur dan Kementerian di Kuala Lumpur, tetapi ditetapkan bersama dengan tuntutan permintaan negeri bersama dengan Persekutuan.
- Ini dia Rancangan Malaysia Ketiga Belas dan ini bukan saya kata tidak berlaku dahulunya, ada tetapi permintaan disaring oleh Kementerian-kementerian Persekutuan. Sekarang tidak, permintaan itu secara langsung yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, ada Ketua Menteri ada Menteri Besar Negeri dan secara langsung kita dengar dan kita beri perhatian. Ini hanya berlaku kerana keseragaman kerana hubungan akrab dan baik kerana saling meyakini di antara satu sama lain.
- Sebab itu saya katakan kalau mahu Malaysia ini terangkat kedudukannya. Kalau mahu Sabah maju, mesti ada semangat untuk bina kekuatan Sabah, muliakan tingkatkan tahap kemajuan Sabah dan lakukan ini bersama dengan semangat perpaduan kita dalam satu negara dengan Kerajaan Persekutuan. Jadi terima YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor dan seluruh barisan Menteri- menteri di Sabah.
- Saya sering ulangi hal ini kerana kadang-kadang dalam pergelutan hampir Pilihan Raya Negeri Sabah, pimpinan yang pernah memimpin bersama kadang-kadang lupa semata-mata untuk menghangatkan suhu politik ataupun membangkitkan isu-isu yang menimbulkan terhakisnya keyakinan kepada negara. Ini tidak sihat. Saya minta izin ya Yang Berhormat Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Ketua Menteri, saya nak bicara terus terang beberapa perkara. Datang bicara soal yang baik-baik, bunyinya enak-enak dah saya nak terus terang. Apa kritikan yang paling kuat di sini? Pengedaran video yang tidak disiasat oleh agensi Kerajaan Persekutuan, SPRM. Tentunya saya tidak campur mulanya, tetapi bila hal itu hangat, saya tentu minta pandangan daripada SPRM. Apa ini video-video ini? Tuduhannya bahawa kita menutup, itu persepsi dibangkitkan persepsi terutama di bandar seolah olah ada usaha untuk menutup rasuah dan kesalahan.
- Saudara saudari yakin negara ini tidak selamat sekiranya kita izinkan pimpinan memunggah kekayaan hasil negeri. Negeri boleh kaya, pemimpin boleh kaya, rakyat miskin kalau kita tidak tangani masalah rasuah. Tapi rasuah ini tidak ditangani dengan persepsi. Tidak ditangani dengan fitnah. Tidak mungkin diselesaikan dengan maki hamun dan menimbulkan kepercayaan, mesti melalui latihan nilai kita, prinsip kita dan tindakan yang tegas dari segi perundangan. Negara ini negara hukum bukan negara persepsi, bukan negara tuduhan dan fitnah.
- Jadi saya tanya SPRM ini heboh-heboh video, saya pun tengok, eh nampak macam betul, apa masalah ini? Apa jawapannya rasmi kalau ikut hukum video sekerat-sekerat ini boleh disiasat, tapi tidak boleh didakwa. Tidak ada hak mahkamah yang akan terima video sekerat-sekerat. Apa lagi zaman AI? Ini baru tadi Yang Berhormat Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebut. Kalau saya boleh tunjuk Tan Sri bertumbuk dengan Puan Sri. Jadi sebab itu kena siasat. Jawapan mereka disiasat tapi tidak boleh teruskan kerana belum ada keterangan. Dan orang yang mengeluarkan keterangan itu pun dia keluarkan sedikit, dia bicara dengan pembangkang sedikit, dia hangatkan suasana. Jadi tentunya kita kena jelaskan, itu satu.
- Yang kedua, kita tahu tanggungjawab Kerajaan adalah mempertahankan hak orang yang memberi maklumat, yang disebut sebagai whistleblower. Tapi, apa kata kita ambil satu kes, bukan di Sabah mana-mana pun ada. Seseorang itu yang curi atau samun RM2 bilion. Kemudian dia pergi kepada polis atau SPRM “Saya akan beri kerjasama untuk mendakwa orang yang mengambil RM100,” kemudian dia kata saya mahu diberi perlindungan oleh Kerajaan. Apakah wajar kita beri perlindungan? Tidak. Hal-hal ini adalah hal hukum.
- Baik, bagaimana keadaan sekarang mengenai video? Mengikut SPRM, baru satu bulan yang lalu, ada yang dikatakan video lengkap. Maka SPRM rujuk kepada forensik untuk sahkan, dan itu adalah masalah siasatan. Maknanya siasatan yang lebih rapi boleh diteruskan. Jadi, ini saya nak terangkan supaya saudara-saudari faham. Saya tidak mahu jadi pegawai dalam jabatan Kerajaan untuk melindungi, ini keadaan dia. “Oh, Perdana Menteri mesti ambil tindakan. Perdana Menteri tidak tegas. Perdana Menteri sebut anti-rasuah tapi mengizinkan.” Ini Perdana Menteri bukan diktator. Saya ikut hukum. Saya kena lalui proses. Saya tidak boleh tangkap begitu sahaja. Ada orang umpamanya bertanya, “Oh kamu dah nampak ada duit, dia ada RM100 juta. Mengapa belum didakwa?” Siasat. Siasat itu kerja SPRM atau polis. Dakwa tu kerja Peguam Negara. Hukum itu kerja hakim. Perdana Menteri itu harus jaga supaya sistem itu berjalan, bukan sistem Perdana Menteri yang siasat, Perdana Menteri yang dakwa, Perdana Menteri yang hukum itu diktator namanya. Itu pernah kita lalui dulu. Saya tahu itu. Jangan minta saya ulangi sistem begitu, dan orang-orang begitu yang diajar sekarang.
- Wah, hebat! Rosak, sebab itu kita kena jaga. Apakah tidak ada menteri yang rasuah dulu? Ada. Apakah tidak ada pendakwa yang dipertikai kewibawaannya? Ada. Apakah tidak ada hakim yang rasuah dulu? Ada. Sebab itu kita kena teliti di semua peringkat supaya dibersihkan semua sistem. Itu tanggungjawab kita tentang tatakelola. Saya pilih untuk terus terang begini. Kalau tidak semua tak mahu jelaskan, nanti timbul keadaan dan masalah.
- Ini Kamaatan Montok Toinsanan mengapa bicara soal ini? Kerana hal ini penting bagi kita. Supaya ada kesediaan. Kita bukan mengaku kita ini semua baik dan sempurna, tapi kita berpakat untuk bawa kemajuan. Kalau ada pelanggaran yang melampau, mesti ada tindakan. Saya setuju. Jadi saya harap kali ini dapat difahami untuk memberi makna.
- Baik, beberapa hari yang lalu selesai ASEAN. Kita syukur alhamdulillah, kerjasama Kerajaan Negeri, kerjasama kementerian-kementerian, hotel-hotel, pemandu, tukang cuci yang membersihkan, semua bekerja yang menyebabkan ASEAN 2025 di Kuala Lumpur dianggap ASEAN yang sangat berjaya dalam sejarah sejak penubuhan ASEAN. Kerana apa? kerana kita kerja sebagai satu pasukan yang mantap. Siapa bertanggungjawab? Semua kementerian. Kementerian Luar? Ya. Kementerian Dalam Negeri? Ya. Kerana saya fikirkan 4,000 polis, 6,000 polis dikerahkan kerja, tugas giliran siang malam menjaga keselamatan. Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia, semuanya terlibat dalam semua perancangan bilateral dua hala. Menteri-menteri dan pimpinan, kita kerja bersungguh-sungguh.
- Saya bagi satu umpamanya contoh, satu hari jadual mula 7.00 pagi, minum pagi dengan Premier Li Qiang negara China. Itu penting untuk Premier Li Qiang nak breakfast dengan saya itu walaupun itu dia kata private breakfast, bagi saya sangat penting. Rush balik, 8.20 pagi menerima secara rasmi sambutan Emir of Qatar, di antara negara yang hasilnya tinggi dan kekayaannya trilion dollar, sambut dia. Lepas itu dia minta bilateral, panggil pula Menteri-menteri kanan semua bincang dua hala, pelaburan apa, bagaimana nak tingkatkan kerjasama. Tanya dia pula secara peribadi apa yang berlaku dalam rundingan dia dengan Presiden Donald Trump semasa Donald Trump melawat Qatar? Bagaimana selesai masalah Gaza? Macam mana pandangan tentang Ukraine? Bagaimana hubungan dengan Syria? Bagaimana dengan Iran? Semua kalau tidak tercapai keamanan, tempias itu sampai ke sini.
- Kemudian, sambutan ASEAN keseluruhannya. Selesai ASEAN satu hari. ASEAN dengan Negara-Negara Teluk dengan Negara Arab yang kebetulan yang di antara negara-negara yang paling kaya di dunia. Arab Saudi, Kuwait, Oman, Bahrain. Jadi, nak jaga ASEAN sebagai satu, GCC, kemudian campur lagi negara China. Kemudian nak balance supaya jangan ada masalah dengan Amerika Syarikat.
- Jadi esok saya ke Singapura, Shangri-La Dialogue kerana Perdana Menteri Lawrence. Saya sebenarnya jarang nak pergi majlis-majlis yang (melibatkan) pertahanan kerana ada Menteri Pertahanan. Tapi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang jadi seorang kawan baik, bekerjasama, runding, boleh teks Whatsapp, dan dia tiga kali dia kata “Anwar, please come. Important,” kata dia. Jadi, kali pertama saya kata “Minta maaf saya selalu tak mahulah terlibat, lagipun sibuk baru habis ASEAN, ni Kaamatan pula datang, Tan Sri Pairin marah pula (nada seloroh)”. Kemudian saya kata 2 Jun Keputeraan Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dia kata datanglah sekejap pun tak apa, bagi ucapan, kita jumpa sekejap, balik. Jadi saya kena pergi. Kemudian rupa-rupanya Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat mohon nak jumpa.
- Saudara, kita negara Malaysia, negara kecil tetapi diberi penghormatan begitu. Datang ke Singapura untuk menyampaikan ucapan Shangri-La Dialogue. Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat minta nak jumpa. Jadi tentu saya kata ‘yes’. Kerana apa? Kerana saya nak jaga supaya Malaysia itu kekal dengan centrality. Baik dengan negara China, baik dengan Amerika, baik dengan Arab, baik dengan India supaya negara ini mendapat perhatian, dapat pelaburan, angkat martabat rakyat dan negara ini.
- Tetapi kejayaan kita, saudara boleh harus baca keputusan-keputusan untuk tambah pimpinan Menteri-menteri, joint statement itu penting, kerana kerjasama yang luar biasa. Semua kaum terlibat, semua suku kaum terlibat, semua Menteri terlibat. Kita bagi penghormatan, yang menyambut tiap pemimpin ASEAN, GCC, China, mesti Menteri. Ini belum berlaku kerana kita tunjuk penghormatan kita kepada tetamu-tetamu kita. Dengan tarian-tarian kebudayaan, semua, tak pernah tinggal tarian dari Sabah. Kadang-kadang orang tahu kalau majlis tengah hari saya makan tengah hari itu yang tarian buluh itu, berapa orang saya paksa ikut. Dan kadang-kadang laju terkena kaki dia, nasib baik dia tak saman (nada seloroh).
- Jadi saudara-saudara, saya nak tekankan di sini, betapa perlu bila kita berpakat, muafakat, kerjasama kita boleh angkat martabat negara kita. Apakah semuanya sempurna? Belum. Bagilah berapa bilion ringgit pun baiki jalan, masih ada satu dua tempat yang masih lubang-lubang. Jadi kita harus terus prihatin, dengar dan cuba selesaikan.
- Tadi saya bincang dengan Ketua Menteri sebab dia katakan air di UMS. Saya sampai dulu, dua tahun lebih dulu bagi RM3 juta immediate, selesai sekejap, dia bocor lagi. Kemudian anak-anak, mahasiswa anak kita rasa gelisah. Negeri, cari semua maklumat penyelesaiannya. Di luar semua baik ada air, dalam kadang tersangkut air. Jadi kita maknanya kita dengar cuba selesaikan dengan sebaik mungkin. Dan saya beritahu kepada Ketua Menteri kalau dikatakan perlu tambahan peruntukan saya bagi, kerana ini anak-anak kita.
- Ini maknanya, kita boleh bicara soal-soal besar tetapi mesti selesaikan soal-soal rakyat yang di bawah. Umpamanya, di antara isu dibangkitkan selain daripada jalan ialah beberapa kampung, desa pedalaman yang gelap gelita waktu malam. Ya, kita fikir kalau bagi lampu besar-besar, mahal-mahal, tak upaya negara. Dia kena ada rencana 5 tahun, 10 tahun. Tapi saya nak segera, segerakan, maka cari. Masalah sebuah universiti, buat pelaksanaan saya luncurkan Solar MADANI di Sarawak, dua bulan lalu dan kita akan pasang tiang elektrik solar hampir semua kawasan pinggir bandar, desa dan pedalaman. Dan kita mula termasuk di Sabah ini. Hampir semua kampung dalam tahun ini juga kita letaklah tiang elektrik solar. Dia murah tapi terang. Tak payah standard internasional, standard kita untuk beri. Dan saya dah luluskan supaya hampir keseluruhan kampung-kampung, desa dan pedalaman di Sabah akan terang dengan kuasa solar jadi mulai tahun ini.
- Katanya mengapa tangguh? Kerana sebelum ini semua rancangan yang dibawa itu terlalu mahal, tidak upaya kita nak pasang lampu yang puluh-puluh juta. Dan masalah banyak lagi. Tapi bila kita dapat rencana yang lebih murah, arahan dan saya telah diluluskan peruntukan diperlukan. Saya kata kalau setakat RM1 – RM2 juta tambahan untuk Sabah ini, Hajiji, no problem! Kita luluskan. Kalau lambat pasang, salah Hajiji. (nada berseloroh)
- Ada beberapa hal yang saya nak terangkan. Sabah ini kadang-kadang tergugat kerana serangan-serangan. Dulu serangan tentera Sulu. Terpaksa kita buat ESSCOM dengan belanja tinggi untuk persiapan pertahanan yang lebih kukuh. Kena beli peralatan senjata, tentera dan Polis. Itu lihat kesemuanya. Ada orang kata tentera Semenanjung pertahankan jasa dia, betul. Tetapi saudara tahu tak kes Maunah, itu anak Sabah, anak Sarawak yang terkorban. Jadi bagi kita, bagi saya, saya tidak kira, kita sebagai pasukan pertahanan Sabah, Sarawak, dan Semenanjung, kita pertahankan.
- Kemudian bila kalah, mereka kumpulan gerombolan pengganas Sulu, dia buat tuntutan merata dunia di Eropah, di Sepanyol, di Perancis. Kalau dulu kita ambil tindakan begitu tapi tidak dalam Jemaah Menteri kita putuskan kita lakukan maksima, hantar peguam dan Jabatan Peguam Negara lawan ditiap negeri kota lima enam kota. Lawan kes supaya kita pertahankan maruah Sabah dan alhamdulillah, sekarang kes tutup kerana kita menang semuanya.
- Hal ini perkara besar, perang maruah negeri. Kemerdekaan kita dituntut di luar negara. Kita lawan habis-habisan, memang belanja juga tinggi. Bukan kecil. Lawan kes di Madrid, lawan kes di Paris, lawan kes di beberapa negeri. Bukan jumlah yang kecil, tapi bagi saya bukan isu, isu maruah negeri, maruah Sabah dan kedaulatan Sabah itu kita beri keutamaan. Dan kita bincang berkali-kali, lima enam kali laporannya di Jemaah Menteri bersama dengan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah. Alhamdulillah kita berjaya.
- Jadi saya nak tunjukkan bahawa hal ini, ASEAN umpamanya, Filipina masih ada tuntutan Sabah. Walaupun hubungan kita dengan Filipina sangat baik. Sama ada Presiden terdahulu atau Presiden sekarang Bongbong Marcos, saya kekalkan hubungan yang sangat baik dan akrab, supaya kita jaga. Dan dalam mesyuarat ASEAN baru-baru ini, alhamdulillah soal Sabah itu terkawal dan tidak menjadi persoalan, kita kekal dalam sama kita. Walaupun mereka buat tuntutan, tapi kita tentu tidak dapat layani kerana kita jaga kedaulatan dan maruah negeri kita.
- Selain itu saudara-saudara tahu, kita teruskan kerana sementara kita bicara soal-soal besar, soal api, soal air, soal sekolah, soal klinik, soal jalan, soal kemiskinan tegar masih menjadi isu di Sabah. Saya cadangkan supaya sementara kita boleh menegur dan mengkritik, kita juga lihat kemajuan-kemajuan dicapai dalam beberapa tahun kebelakangan sejak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji, saya dan rakan-rakan di Persekutuan, berapa jumlah kita? Berapa yang kita lakukan? Supaya boleh kita patahkan hujah.
- Saya beritahu di sini tahun lalu, kita kena jaga. Ini bukan soal kerana ada pilihan raya. Ini soal tanggungjawab kita. Mana-mana negara tanggungjawab kita pertama, jaga keharmonian kita. Jadi apa sahaja yang perlu bawa rundingan dengan baik. Bila hubungan negeri dengan Persekutuan yang mampu kita tunaikan, kita tunaikan.
- Tapi saya nak rakan-rakan di Sabah juga faham, kita ada keterbatasan. Bukan semua soal Sabah sahaja, dia ada Kelantan, dia ada Terengganu, dia ada Sarawak yang harus kita tunaikan. Ada kaitan bila kita selesaikan masalah yang genting. Berapa lama di antara Petronas dan Petros? Saya runding, akhirnya minta pegawai-pegawai runding, menteri-menteri runding, sampai kepada saya dan Premier Abang Johari, kita selesaikan dengan baik. Jaga kepentingan nasional, kepentingan Persekutuan, PDA 74. Jaga kepentingan Petros, kepentingan Sarawak. Jadi itulah harmoninya yang dibuat. Ia tidak menghalang orang yang tuntut seolah-olah satu negeri itu merdeka. Tidak. Kita nak cari penyelesaian bukan populariti jalanan. Ini kena ingat.
- Jadi contoh itu, boleh dimanfaatkan di Sabah. Saya tidak ada masalah. Mengapa beri kepada Sarawak dan belum lagi kepada Sabah, kita runding. Saya tidak ada masalah sama sekali untuk memberi laluan hasil dan keutamaan hasil seperti mana berlaku di Sarawak untuk negeri Sabah, termasuk minyak dan gas. Menang kerana rundingan ini, bukan menang kerana jeritan maki hamun kita. Menang jerit di luar, tidak menang untuk membela nasib rakyat. Saya cadangkan biar menang dengan Kerajaan Negeri dan bekerjasama dengan Persekutuan supaya hasilnya sampai kepada ke bawah.
- Jadi saya ucap sekali lagi terima kasih dan minta maaf kerana terangkan isu-isu ini dan saya juga ikuti kemajuan Kadazan-Dusun Cultural Association (KDCA). Saya bagi jaminan kepada Tan Sri Pairin, apa-apa yang dia rasa perlukan kita bawa. Seperti majlis ini, memang kita telah setiap tahun saya bantu peruntukan yang diperlukan. Dan saya tengok sambutannya begitu baik dan saya bangga sebagai anak Malaysia yang ada di Sabah dan melihat keharmonian yang ada di Sabah. Saya hormat kejayaan saudara-saudara.
- Jadi dengan Bismillahirrahmanirrahim dengan sukacitanya, saya merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2025.