TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 SABAH
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MADANI RAKYAT
2025 SABAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saudara saya,
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;
Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick,
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP);
dan jawatankuasa dan seluruh jentera yang banyak membantu, bersama dengan jentera Kerajaan Negeri, Persekutuan;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara (KSN);
Ramai hari ini, selain daripada,
Yang Berhormat Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul,
Yang Di-Pertua Speaker Dewan Rakyat;
Speaker Dewan Undangan Negeri;
Timbalan Ketua Menteri;
Menteri-menteri;
Ramai juga Ketua-ketua Setiausaha Kerajaan Persekutuan;
Ketua Polis Negara; dan Peguam Negara.
- Hebat Tawau ini dapat tarik seluruh perhatian negara. Hari ini hari Tawau kerana Tawau telah dapat menarik perhatian seluruh pimpinan negara ini, memberi tumpuan, melihat kemajuan seperti mana kita lihat satu dua hari ini, pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan dan Negeri turun ke bawah menyantuni rakyat, melihat apa sahaja yang perlu kita lakukan untuk angkat martabat dan keselesaan rakyat. Saya ucap terima kasih dan salute kepada orang Tawau semuanya, dan orang Sabah juga yang hadir. Ada yang dari Sarawak tadi, terima kasih.
- Hari ini juga Hari Ibu. Ibu ini bagi kita bukan hari ini sahaja tetapi hari-hari. Orang yang lalui dugaan, lahirkan kita, tunjukkan kasih sayang kepada kita. Jadi pada hari ini, anak-anak dan saudara-saudari yang punyai ibu, selepas ini dan malam ini jangan lupa cium tangan mereka, tunjukkan kasih sayang kepada mereka, dan bagi yang orang seperti saya yang sudah kehilangan ibu, ingat baca Al-Quran, doakan kesejahteraan mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
- Ibu ini, saya ingat lagu P. Ramlee dahulu: “Ibu, ibu….. dikaulah ratu hatiku.” Itu dia gambarannya. Jadi walaupun kita dari sambutan biasa, tetapi harus terpahat di hati sanubari kita kasih kepada seorang ibu. Tak ada makna sambutan hari ini, Hari Ibu, kalau kita tidak cari ikhtiar, tunjukkan kasih sayang kepada yang ada dan juga yang telah meninggalkan kita. Saya harap jangan lupa pesan ini kerana kadang-kadang kita yang ada ibu itu anggap biasa, kerana didikan anak-anak sekarang kasar, tak tunjuk kasih sayang. Ada yang sudah bekerja besar, dua tiga minggu sekali pun sukar menelefon untuk tanya khabar. Jadi saya harap Hari Ibu ini kesempatan kita kenang, ingatkan kadang-kadang kita manusia ini cuai dan lupa.
- Hari ini juga kita adakan majlis yang disebut MADANI Rakyat. Tujuannya supaya rakyat, di kota, desa dan pedalaman, dapat meninjau sendiri apa yang dilakukan oleh kerajaan MADANI. Saya ucap terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara dan seluruh jentera kerana mereka merasakan projek ini program yang dapat memberikan pendedahan. Kerajaan bagi pengumuman, menyebut tentang projek, ada langkah-langkah baharu dalam bidang pendidikan, bidang artificial intelligence (AI), bidang digital, KUSKOP, pertanian, pertahanan, PDRM — apa yang mereka kerjakan. Jadi pantau betul-betul, terutama anak-anak muda. Lihat sendiri apa yang dilakukan, beri teguran, berikan pandangan. Kalau ada kemukakan cadangan. Barulah boleh kita hidupkan negara Malaysia yang hebat dan negeri Sabah yang maju, kerana sikap kita untuk membangun.
- Saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji, kerana menyebut tentang keperluan kita bekerjasama. Kadang-kadang saya tidak mampu nak jawab semua teguran-teguran. Kadang-kadang orang-orang, pemimpin-pemimpin ini, sebahagiannya mereka itu banyak jawatan-jawatan besar mereka. Ada yang jaga Parlimen tetapi sekarang seolah-olah hari-hari bicara tunjukkan bagaimana nak majukan Sabah dengan berseteru dengan Semenanjung, ataupun seteru dengan Persekutuan. Semenanjung tidak akan maju, Sarawak tidak akan maju, Sabah tidak akan maju kalau tidak kita bersatu, muafakat angkat negeri ini bersama-sama. Jadi kita kena faham itu.
- Ini yang pertama — lihat negara-negara, hari-hari di berita: pecah antara kaum, pecah antara wilayah, pecah antara agama, kerana apa? Kerana pemimpin-pemimpin kerjanya hasut. Bila ada kuasa, tidak fikir untuk menjaga rakyat. Bila ada kuasa, jaga Parlimen, jaga Kementerian, jaga Kerajaan, dia tidak fikir banyak, tidak lakukan banyak. Bila hilang kuasa, “Jaga Melayu, Islam terancam, Negeri tidak dijaga”. Kamu ada kuasa dulu, buat masa kita ada kuasa. Saya cabar rakan-rakan yang ada kuasa, buatlah sebaiknya untuk rakyat masa kita ada kuasa.
- Apakah yang sebaiknya? Sebaiknya untuk rakyat. Apa itu masalah rakyat? Api, elektrik, tenaga, air mereka. Sekolah anak-anak mereka. Sekolah, tandas anak-anak di sekolah. Makmal sains, bilik darjahnya, kantin mereka. Polis dan tentera yang menjaga keamanan, perumahan mereka, keperluan mereka. Jalan-jalan yang harus diperbaiki. Klinik dan hospital. Tidak ada orang tanya kita.
- Sebab itu saya katakan, Kerajaan MADANI dalam dua tahun lebih, dua tahun setengah lebih sekarang — kita lakukan. Ada orang kata belum cukup. Saya setuju belum cukup. Kadang-kadang masalah yang kita tanggung warisi sekian lama, nak diselesaikan dalam masa satu dua tahun, Tak boleh! Saya beritahu kepada Ketua Menteri, berapa lama tersangkut Pan Borneo? Di Sarawak sudah hampir siap. Di Sabah tergendala terus. Nasib baik kita ada Ketua Menteri, Hajiji, dia kata Dato Seri Anuar Ibrahim jalan terus, jangan peduli masalah lain. Tapi kalau kita dengar, marah terus saudara-saudara.
- Jadi sebab itu saya katakan tegas, peruntukan dah bagi. Berbilion-bilion wang Kerajaan Persekutuan tak bagi. Tak, tanya Ketua Menteri sudah berapa lama saya di sini? Apa saya minta saham daripada Sabah? Apa ada saya minta balak daripada Sabah? Apa ada saya minta kontrak daripada Sabah? Tidak, saya datang untuk khidmat untuk rakyat Sabah dan ini tugas saya.
- Jadi saya harap rakan-rakan faham ini, bina kekuatan kita. Kita mahu Kerajaan Persekutuan yang kuat, betul. Terima kasih rakan-rakan di Sabah. Tapi kita mahu juga Kerajaan Sabah yang kuat. Kita mahu pimpinan yang tegas di Persekutuan. Dan kita mahu pimpinan yang boleh mampu dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah-masalah rakyat. Jadi saya ambil kesempatan ini menyatakan bahawa dalam program-program rakyat, ini harus diutamakan. Dan saya minta di bawah pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri selaraskan dengan pegawai-pegawai.
- Ya, betul pegawai ramai yang setia kerja dengan baik. Tapi seperti biasa dalam dunia politik, dalam Jabatan, dalam Polis, bukan semua yang dapat kita pertahankan. Jadi kita kena betulkan dan bersihkan sikap orang-orang yang khianati amanah mereka. Dan ini memerlukan pimpinan di semua peringkat. Jaga baik-baik. Negeri ini mesti selamat. Kita sekarang hadapi juga masalah. Apa dia? Prestasi Sabah baik tahun lalu. Prestasi Malaysia, pembangunannya, pelaburan, pelaburan ini kita catat tahun 2024 itu pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia.
- Tetapi sekarang kita hadapi dengan tarif. Presiden Donald J Trump, apa dia tarif? Tarif ini maknanya Amerika mengenakan cukai tinggi bagi barang-barang yang nak masuk Amerika. Yang paling tinggi dari negara China. Dari ASEAN, Cambodia, Vietnam, Indonesia tinggi. Thailand lebih tinggi dari kita, kemudian kita, barulah Singapura dan Filipina. Apa maknanya? maknanya barang kita nak masuk ke Amerika sukar, kerana cukainya tinggi. Sebab itu kita runding, Menteri MITI Tengku Zafrul dihantar dengan perwakilan untuk berunding bagaimana nak selesaikan. Alhamdulillah, setakat ini ada beberapa kemajuan. Tapi kita kena tunggu kerana Presiden Donald J Trump minta tempoh 90 hari.
- Kita eksport tinggi ke Amerika Syarikat. 60% daripada semikonduktor kita yang kita keluarkan dari Malaysia itu 60% di eksport ke Amerika Syarikat. Kayu-kayan dan kelengkapan perumahan furniture itu 2 bilion dolar satu tahun ke Amerika Syarikat. Jadi, selain daripada runding kita kena bina kekuatan. Bagaimana boleh kita bina kekuatan kalau asyik kita hirup pikuk bergaduh dalam soal-soal kecil, maki hamun sana cerca di sini fitnah di sana, Tak boleh kita bangunkan negara. Saya tak kata tak boleh kritik. Saya tak kata tak boleh tegur, tetapi biarlah membina, jaga negeri ini baik baik. Sabah ini punya potensi yang besar. Kalau Sabah diurus dengan baik dengan khazanahnya dengan tarikan pelabur yang ada, saya yakin Sabah akan juga terangkat sebagai salah satu negeri yang maju di Malaysia.
- Jadi saya harap terus saudara-saudara dapat memberi perhatian dalam perkara ini kerana kita cari ikhtiar. Saya dimaklumkan daripada Ketua Menteri dan Menteri- menteri, wakil-wakil rakyat kita, bahawa masih diperlukan tenaga disesetengah kampung, kawasan desa, pinggir bandar, gelap malam. Jadi sebab itu hari ini kita lancarkan program untuk seluruh negara tapi bermula di Sabah dan di Sabah bermula di Tawau iaitu Solar MADANI tiang-tiang yang menerangkan Kampung dan kawasan perumahan Sabah dan seluruh Malaysia, insya-Allah.
- Kemudian YB Datuk Ewon Benedick ada bisik pada saya tentang Tamu MADANI, pasar-pasar di luar bandar yang memerlukan peruntukan tambahan. Ini hadiah Hari ibu. Ibu-ibu berniaga, jual, kalau kita lihat di luar kebanyakan ibu-ibu jual buah-buahan, makanan di luar bandar yang luar daripada kawasan Majlis Perbandaran, dan dia bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan KPKT. Kita nak bagi peruntukan 10 juta ringgit.
- Jadi maknanya bukan nak buat restoran besar, tdak. Bukan nak buat warung-warung besar, nak bagi bumbung yang agak baik supaya ibu-ibu boleh berniaga, tidak terik cuaca panas supaya gadis-gadis Sabah itu kekal putih dan tidak gelap dengan matahari (nada seloroh). Jadi oleh itu, saya telah dengar, insya-Allah kita akan luluskan tambahan untuk diselenggara oleh Kementerian gerai-gerai kecil ini terutama di Sabah dan beberapa kawasan pedalaman dan desa lainnya, RM10 juta sempena Hari Ibu hari ini. Ini sahaja saya bagi untuk Hari Ibu supaya ibu-ibu boleh berniaga dalam keadaan yang agak teduh daripada cuaca terik panas ataupun hujan lebat.
- Selain itu saudara, saya dalam majlis sebelum ini di Kota Kinabalu, berikan penjelasan tentang tuduhan bahawa Sabah ini tidak pedulikan. Saya nak beritahu saudara-saudara. Saudara juga tahu sukar, susah hidup saya. Saya tidak mahu jadi ketua dan Perdana Menteri untuk lupa kehidupan orang, kesusahan, kemiskinan mereka, sebab itu, kita usahakan sedaya upaya kita yang kita katakan noktahkan kemiskinan, bangunkan negeri Sabah. Bila saya lihat umpamanya connectivity. Kita bicara soal artificial intelligence, digital. Tetapi di universiti, di sekolah tidak ada laluan. Jadi sekarang ini umpamanya semua universiti dan kolej-kolej utama termasuk di Sabah, kita telah pastikan ada connectivity. Jadi ini kita lakukan saudara-saudari.
- Kemudian kemudahan lain saya tidak akan sebut semula tentang apa yang telah saya umumkan. Tetapi memadai untuk saya sebutkan di sini. Di Sabah sahaja, kita telah jayakan 144 projek yang jumlahnya adalah RM14 bilion. Hospital Tawau telah dinaik taraf. Penjara Lahad Datu dinaik taraf. Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di antara yang sedang giat dilaksanakan termasuk hospital dan ada cadangan-cadangan tentang Pusat Perubatan Jantung di Kota Kinabalu. Sekarang ini kita ada di Kuala Lumpur. Saya katakan kita tambah di Kuching, di Kota Kinabalu, di Pulau Pinang. Jadi tak payah lah orang kalau dia sesak terpaksa diterbangkan ke Kuala Lumpur.
- Kemudian saudara-saudara juga tahu tentang apa yang kita lakukan untuk pendidikan TVET? TVET ini dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Zahid. Di dalam Majlis TVET Negara ini ditekankan kemudahan yang bertambah. Kemasukan bertambah kerana TVET tidak seperti dulu lagi. Dahulu TVET ini dia rasa rendah sedikit. Sekarang TVET ini mendapat tarikan besar. Gaji mereka kadang-kadang lebih tinggi daripada gaji siswazah. Sebab itu kita kembangkan program TVET supaya dapat menampung keperluan yang lebih.
- Kita ada sekarang lapan (8) kolej komuniti dengan pelbagai kursus. Dan ini melibatkan juga 12% pelajar Tingkatan 4 di Sabah yang di bawah aliran Sains yang kita galakkan. Kita kena ingat negara ini sudah berubah. Jadi keperluan bagi perhatian kerana anak-anak itu perlu. Kita fikir sekarang kita miskin, ada sekolah tapi anak-anak kita tak pedulikan. Jadi hari ini Hari ibu. Jadi kita harap ibu-ibu ambil tahu betul-betul anak-anak dia di sekolah. Belajar dengan rajin. Kalau tidak, tidak akan ada apa yang disebut mobiliti sosial, tidak terangkat kedudukan mereka masa akan datang.
- Jadi sekali lagi saya hendak ucap terima kasih kepada KUSKOP, KSN dan seluruh jentera, Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri kerana kerjasama diberikan. Tapi tolong ingat betul-betul, kita nak Sabah maju. Sabah maju ini, jika ada kerjasama yang erat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk membela nasib rakyat. Dan saya bagi jaminan saudara-saudara, sedaya upaya kita akan lakukan. Memang saya tahu saya tak dapat penuhi semua permintaan. Saya pergi ke Perlis bulan lalu, orang Perlis kata kami ni tertinggal, kita tambah peruntukan. Sebabkan Kelantan tiap-tiap tahun banjir besar, kita tambah peruntukan. Ke Sarawak ada beberapa kemudahan permintaan tambahan.
- Ini biasa tetapi bukan bermakna dengan cara musuh, dengan cara mencerca, kita runding dan cari penyelesaian yang baik. Pilih wakil-wakil rakyat yang boleh menyuarakan kepentingan kita dan bukan untuk memecahbelahkan kita antara satu sama lain. Ini pesanan saya, kalau kita cinta pada negara kita, cinta kepada negeri kita, kita mestilah tingkatkan muafakat kita.
- Jangan lupa, jangan lupa, kita harus bersyukur pada Allah Taala. Syukur kerana kita aman. Syukur kerana walaupun bergaduh politik, belum ada rusuhan. Syukur kerana tidak perang satu sama lain. Baru-baru ini India-Pakistan. Sebelum ini, Gaza dihancur leburkan. Sebab itu kita syukur dan ini gesaan Allah S.W.T “lain syakartum laazidannakum walain kafartum inna adzabi lasyadid” – syukur ke atas nikmat Allah dan Allah akan tambah nikmat. Jangan kita tolak sampai tak tahu bersyukur, tak tahu terima kasih, kerana jawapannya adalah azab yang pedih. Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.